‘Nur Haira berlumuran darah, nafasnya perlahan’

8 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Nur Haira berlumuran darah, nafasnya perlahan’

BATU PAHAT – Kebimbangan sebuah keluarga mengenai kehadiran sekumpulan anjing liar yang berkeliaran di sekitar Kampung Tambak, Sungai Kelambu di sini menjadi kenyataan apabila seorang kanak-kanak berusia dua tahun parah diserang haiwan itu pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kepalanya terkoyak dan pipinya berlubang akibat digigit sekumpulan lima ekor anjing.

Insiden mencemaskan itu disedari ne­nek mangsa, Darlinda Darlis, 56, yang menjerit sekuat hati meminta pertolongan sebaik melihat haiwan tersebut mengerumuni cucunya di hadapan rumah.
Darlinda berkata, ketika kejadian, dia ba­ru selesai mandi sebelum mencari Nur Haira yang sebelum itu berada di dalam rumah bersama abang dan kakaknya.

“Sebelum kejadian, Nur Haira baring di sebelah abang dan kakaknya sambil meminum susu. Selepas selesai mandi, saya mencari Nur Haira sebelum mendapati pintu gelangsar dalam kea­daan terbuka.

“Sebaik keluar, saya terkejut melihat lima ekor anjing sedang menggigit Nur Haira. Saya menjerit sekuat hati meminta tolong sebelum seorang anak keluar menyelamatkan Nur Haira,” katanya ketika ditemui semalam.

Wanita itu berkata, sebaik haiwan liar tersebut beredar, dia segera membawa cucunya ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru ekoran kecederaan parah yang dialaminya.

Serangan haiwan liar itu menyebabkan Nur Haira terpaksa ditidurkan di HSA.

Cerita Darlinda, ini kali pertama Nur Haira tinggal di rumah­nya selepas dihantar ibu bapa­nya yang kemudian ke Johor Bahru atas urusan kerja.

Sebelum ini, kanak-kanak itu kerap tinggal bersama datuk se­belah bapanya yang tinggal tidak jauh dari rumahnya.

Darlinda mendakwa, haiwan liar itu dipercayai ditinggalkan pemburu selepas digunakan untuk memburu babi di kebun sawit berhampiran.

“Kami sudah lama bimbang dengan kehadiran anjing-anjing ini kerana kerap berkeliaran di kawasan rumah, malah ada yang baru melahirkan anak.

“Apabila dihalau, haiwan itu lari sekejap, tetapi selepas itu datang semula. Selain itu, ada anjing tidur di depan rumah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli keluarga mangsa yang mahu dikenali sebagai Nur, 23, memberitahu, dia masih terbayang wajah Nur Haira ketika diserang haiwan liar tersebut.

“Keadaan Nur Haira begitu lemah dan nafasnya sangat perlahan. Dalam keadaan berlumuran darah, saya mendukung Nur Haira untuk dibawa ke hospital.

“Darahnya banyak keluar sampai melekat pada pakaian saya. Saya hilang kata-kata kerana bi­ngung melihat keadaan Nur Haira,” katanya.

Menurut Nur, sebelum kejadian, dia yang berada di dalam rumah terdengar jeritan ibunya lalu bergegas keluar untuk menyelamatkan Nur Haira, manakala ibunya cuba menghalau anjing liar tersebut.

Susulan kecederaan itu, Nur Haira selamat menjalani pembedahan pada beberapa anggota badan kelmarin dan semalam.

“Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar dan keadaan Nur Haira dilaporkan stabil. Kami sekeluarga amat berharap dia segera sembuh,” katanya.

Wanita itu turut berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera menangkap anjing liar yang berkeliaran di kampungnya kerana bimbang kejadian sama akan berulang.

“Kami tidak mahu ada mang­sa lain digigit anjing selepas ini. Jangan tunggu sampai ada orang lain yang menjadi korban,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 ke­rana kesalahan berkaitan pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan bagi ke­cuaian berkenaan haiwan.

The post ‘Nur Haira berlumuran darah, nafasnya perlahan’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved