Nur Haira jalani tiga pembedahan, dipantau rapi pakar perubatan - Bapa

LocalHealth & Fitness
7 Oct 2026 • 9:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nur Haira jalani tiga pembedahan, dipantau rapi pakar perubatan - Bapa

​BATU PAHAT - Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang diserang lima anjing liar di Kampung Tambak, Peserai bulan lepas telah menjalani tiga pembedahan dan bakal menempuh beberapa lagi prosedur lanjutan sebelum dibenarkan keluar dari hospital.

​Bapa mangsa Mohammad Hamizi Hamdan, 37, berkata, anaknya Nur Haira Wafiqah kini ditempatkan di Wad Khas Pembedahan Kanak-Kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru di bawah pemantauan rapi tujuh doktor pakar.

​Beliau berkata, tiga pembedahan awal membabitkan usaha menutup luka di beberapa bahagian badan dan kepala akibat gigitan haiwan berkenaan.

"Luka pada bahagian kaki, tangan dan badan anak saya sudah mula kering, namun kecederaan pada kepala masih memerlukan rawatan rapi.

"Minggu ini adalah minggu keempat Nur Haira dirawat di HSA dan beliau dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada bahagian kepala,” katanya ketika menerima kunjungan delegasi Persatuan Wanita (Pelitawanis) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor Cawangan Batu Pahat di kediamannya hari ini.

​Mohammad Hamizi berkata, selepas pembedahan keempat minggu ini, siri pembedahan seterusnya akan menumpukan kepada rawatan tisu, termasuk proses membuang, membaiki dan memindahkan tisu badan yang rosak.

​Prosedur pembedahan berkala itu dijangka memaksa anaknya terus berada di hospital untuk tempoh beberapa bulan lagi.

"Isteri saya, Nur Wahyuni Harun, 36, bertindak menjaga Nur Haira di hospital manakala saya berulang-alik dari Batu Pahat ke Johor Bahru dua hingga tiga kali seminggu.

"Selepas pembedahan pertama yang mengambil masa lebih tujuh jam pada hari kejadian, Nur Haira hanya sedar tiga hari kemudian. Pada mulanya, beliau tidak mengenali sesiapa, namun alhamdulillah beberapa hari selepas itu beliau mula mengecam saya dan ibunya,” katanya.

​Beliau berkata, Nur Haira kini sudah stabil, boleh berbual dan makan seperti biasa.

Pihak doktor bagaimanapun memaklumkan kanak-kanak itu berkemungkinan mengalami kecacatan kekal, termasuk pertumbuhan rambut yang terjejas di beberapa bahagian kepala.

​Sementara itu, Pengerusi Pelitawanis TNB Johor Cawangan Batu Pahat Datin Adib Nafilah Abu Dardak berkata ziarah itu bertujuan untuk meninjau perkembangan terkini mangsa selain menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban kewangan keluarga berkenaan.

​Dalam kejadian kira-kira 7 pagi pada 5 Sept lepas, Nur Haira mengalami kecederaan parah hampir seluruh badan akibat diserang sekumpulan anjing liar di hadapan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani sebelum ini mengesahkan mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke HSA bagi pembedahan pakar lanjutan. - Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved