
PETALING JAYA – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memutuskan untuk memberikan cuti sementara kepada Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MPP selepas membincangkan permohonan Nurul Izzah yang memohon untuk mengundurkan diri daripada jawatan tersebut.
“MPP turut memutuskan Naib Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.
Jelas beliau, MPP turut bersetuju jawatan Pengarah Pilihanraya PKR digalas sepenuhnya oleh Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari.
Berhubung Kongres Nasional 2026, Nurul Izzah dijangka merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda PKR pada 14 Ogos ini .
MPP turut meluluskan seramai 3,533 anggota baharu bagi tempoh 12 Julai sehingga Ogos ini yang mendaftar secara dalam talian.
Pada masa sama, Fahmi memaklumkan, MPP menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
“Parti juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan yang bekerja bertungkus-lumus sewaktu dua PRN itu. Selain itu, ucapan penghargaan diberikan kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atas perkhidmatan yang cemerlang sepanjang dua penggal,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Nurul Izzah cuti sementara jawatan Timbalan Presiden PKR appeared first on Kosmo Digital.




