sarah19/10/2026 - 18:23 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt - NWE Resources Group Bhd mencatatkan hasil RM10.6 juta dan keuntungan selepas cukai RM2.8 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027, dengan margin keuntungan selepas cukai 26.5%, menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 21 Oktober ini.
Kumpulan yang terlibat dalam pembekalan kelengkapan hotel, produk penjagaan diri dan makanan kesihatan itu turut merekodkan keuntungan kasar RM5.9 juta, bersamaan margin keuntungan kasar sebanyak 56%.
Pengarah Urusan Kumpulan NWE Resources, Tan Hong Huat berkata, prestasi tersebut mencerminkan sumbangan positif daripada ketiga-tiga segmen perniagaan utama kumpulan, sekali gus memberikan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan bagi baki tahun kewangan.
“Kami berbesar hati memulakan tahun kewangan 2027 dengan prestasi yang kukuh apabila ketiga-tiga segmen perniagaan utama menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan. Margin yang dicapai juga menggalakkan serta memberikan keyakinan menjelang penyenaraian kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Daripada jumlah hasil itu, segmen pengedaran produk penjagaan diri dan makanan kesihatan menyumbang RM4.3 juta atau 40.2%, diikuti pembungkusan semula, pembuatan dan pembekalan produk penjagaan diri sebanyak RM4 juta atau 38.2%, manakala segmen formulasi dan pembekalan makanan kesihatan menyumbang RM2.3 juta atau 21.6%.
Mengulas mengenai prospek perniagaan, Hong Huat berkata, peruntukan RM935 juta bagi aktiviti berkaitan pelancongan menerusi Belanjawan 2027 serta lanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia sehingga penghujung 2027 dijangka menyokong permintaan terhadap produk kelengkapan hospitaliti kumpulan.
Beliau berkata, hasil tawaran awam permulaan (IPO) yang dijangka meraih RM28.6 juta akan membolehkan NWE Resources mempercepat pembangunan formulasi baharu makanan kesihatan dan penjagaan kulit, meningkatkan keupayaan pembuatan serta memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pemasaran melalui e-dagang secara langsung.
NWE Resources tidak menyediakan angka perbandingan bagi suku sama tahun sebelumnya kerana keputusan bagi tempoh berakhir 30 Jun 2026 itu merupakan laporan kewangan interim pertamanya mengikut keperluan penyenaraian Pasaran ACE. - DagangNews.com






