'BAWALAH obor Malaysia dan obor kemenangan” menjadi amanat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kepada kontinjen negara menjelang Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 yang bakal berlangsung pada Disember ini.
Amanat itu disampaikan ketika beliau menyempurnakan majlis simbolik penyerahan obor AUG 2026 sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Za’ba, KPT, Putrajaya, pada Khamis.
Zambry berkata, obor yang dibawa bukan sekadar simbol bermulanya perjalanan AUG 2026, sebaliknya membawa aspirasi dan semangat kemenangan atlet negara ketika bersaing di pentas sukan universiti Asia Tenggara.
“Bawalah obor Malaysia dan obor kemenangan itu kerana saudara juga membawa obor negara kita, Malaysia,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Zambry menyerahkan obor AUG 2026 kepada Ketua Kontinjen Malaysia, Prof Dr Mohammad Ismail, yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Larian obor kemudiannya dibarakan empat atlet kebangsaan iaitu Andre Anura Anuar (lompat jauh - Universiti Putra Malaysia), Nani Sahirah Maryata (lontar peluru - Universiti Putra Malaysia), Thevendran Kaliana Sundram (karate - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia) dan Lee Hui Yee (taekwondo - Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah).
Larian berkenaan bermula dari pekarangan KPT menuju ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum kembali ke KPT, sebagai sebahagian daripada perjalanan obor ke beberapa institusi pendidikan tinggi terpilih.
Larian obor itu selepas ini diteruskan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
AUG 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 19 Disember menghimpunkan kira-kira 4,669 peserta termasuk 2,849 atlet dan pegawai daripada 11 negara, selain 700 pengadil serta pegawai pertandingan dan 920 sukarelawan.
Sebanyak 19 sukan dipertandingkan dalam dua fasa di Shah Alam, Kuala Lumpur, Serdang dan Bangi dengan mengangkat tema Holistic Excellence.
Temasya itu akan membuka tirai secara rasmi pada 12 Disember di Stadium UiTM, Shah Alam sebelum melabuhkan tirai pada 19 Disember di Dewan Tunku Canselor, UM.



