
KUALA LUMPUR: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus membuktikan kecemerlangan dalam agenda pembangunan modal insan negara apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Prestasi Cemerlang Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 (Kategori Universiti Awam) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
UPNM dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan ini disampaikan pada Persidangan Kebolehpasaran Graduan KPT (PKGKPT) 2026 dan Majlis Peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030 yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.
Persidangan ini turut dihadiri oleh Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad, di mana UPNM diberi kepercayaan sebagai universiti penyelaras majlis bersama KPT dan Majlis Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam.
Kejayaan meraih anugerah ini mencerminkan prestasi konsisten UPNM sepanjang Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12). Ia sejajar dengan anjakan KPT daripada sekadar kesiapsiagaan kerja (job readiness) kepada kesiapsiagaan masa hadapan (future readiness) demi mendepani unjuran World Economic Forum (WEF) yang menganggarkan 170 juta pekerjaan baharu berasaskan teknologi seperti AI, data besar, dan tenaga boleh baharu akan wujud menjelang 2030.
Bagi mendepani cabaran jurang kemahiran (skill mismatch) dan isu underemployment yang ditekankan dalam persidangan ini, UPNM memanfaatkan ekosistem dwifungsi uniknya.
Gabungan disiplin ketenteraan, ketahanan mental, serta integriti bersama penguasaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) menjadi formula UPNM dalam melahirkan graduan yang berdaya saing tinggi bagi memenuhi pasaran pekerjaan berkemahiran tinggi.
Di samping itu, penglibatan aktif UPNM sebagai penyelaras PKGKPT 2026 memperkasakan lagi peranan universiti dalam mendokong penubuhan National Talent Intelligence System berasaskan real-time labor market intelligence bagi merapatkan jurang antara keperluan industri dan kurikulum akademik.
Pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada UPNM untuk terus memperkukuh pembangunan bakat yang berdisiplin, kompeten, dan future-proof, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada aspirasi negara berpendapatan tinggi. – UTUSAN
The post UPNM raih Anugerah Prestasi Cemerlang Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 appeared first on Utusan Malaysia.





