OCR-VA, papar data kehadiran pengundi secara masa nyata

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 1:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: OCR-VA, papar data kehadiran pengundi secara masa nyata

JASIN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan penggunaan Sistem Kehadiran Pengundi Melalui Pengecaman Aksara Optikal (OCR-VA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok bagi membolehkan data kehadiran pengundi diperoleh dan dipantau secara masa nyata.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom berkata, penggunaan sistem itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk memodenkan pengurusan pilihan raya serta meningkatkan kecekapan pengumpulan data.

Menurutnya, sistem berkenaan membolehkan orang ramai termasuk penganalisis politik, mendapatkan maklumat terkini mengenai jumlah pengundi yang hadir tanpa perlu menunggu pengumuman berkala.

“Kita masih menggunakan sistem ini (OCR-VA). Ia sangat berguna bagi mengumpul data kerana kita dapat data secara masa nyata.

“Maksudnya, sesiapa sahaja boleh pergi ke laman web kita untuk melihat bilangan pengundi yang datang.

“Kalau tidak, kita selalunya perlu menunggu kemas kini setiap satu jam. Sekarang kita dapat kemas kini secara masa nyata,” katanya ketika ditemui semasa meninjau persiapan petugas pilihan raya di Merlimau di sini hari ini.

Beliau berkata, petugas pilihan raya juga telah membiasakan diri dengan penggunaan sistem berkenaan yang disifatkan mudah dikendalikan.

Katanya, SPR mendapati sistem tersebut mampu menyediakan data yang tepat tanpa menjejaskan kelancaran proses pengundian.

“Setahu kami, petugas pilihan raya tidak mendapati sistem ini terlalu mengelirukan atau rumit. Ia agak mudah dan tepat.

“Kita meneruskannya sebagai salah satu usaha untuk memodenkan lagi sistem pengundian kita,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa penggunaan OCR-VA tidak menjejaskan kerahsiaan undi serta tidak memberikan kesan ketara terhadap tempoh masa yang diambil oleh seseorang pengundi mengundi.

“Saya rasa ia tidak memberi kesan langsung kepada kerahsiaan undi kita dan tidak memberi kesan serius kepada masa yang diambil untuk mengundi.

“Ini adalah satu percubaan untuk memperbaiki sistem pengundian kita,” katanya.

Azmi turut mengingatkan pengundi supaya menyemak pusat dan saluran mengundi masing-masing menerusi sistem MySPR sebelum hadir ke pusat pengundian.

“Kalau boleh datang awal, semak dengan MySPR atau pun kalau tidak ada akses internet, boleh datang awal dan semak di barung kita di pusat mengundi,” katanya. – UTUSAN

The post OCR-VA, papar data kehadiran pengundi secara masa nyata appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved