PRN Melaka: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 11:28 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi
Azmi menasihatkan pengundi supaya hadir lebih awal ke pusat mengundi susulan ramalan kemungkinan hujan pada hari pengundian. - Foto Awani

MERLIMAU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kira-kira 70 peratus pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, sasaran itu dilihat sebagai kadar yang baik memandangkan PRN kali ini merupakan pilihan raya peringkat negeri dan bukannya pilihan raya kecil.

Menurutnya, SPR berharap sambutan pengundi terhadap proses demokrasi kali ini menggalakkan dengan seramai mungkin pemilih hadir ke pusat mengundi.

“Kita harap 70 peratus. Selalunya jadi macam itulah. Tambahan lagi ini satu PRN, negeri, bukan PRK. Jadi kita harap rakyat berminat untuk datang dan mengundi.

“Harap-harap seramai mungkin, tetapi selalunya kita rasa 70 peratus itu satu angka yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan logistik dan bahan pilihan raya di pusat pengundian awal di Dewan Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Azmi menasihatkan pengundi supaya hadir lebih awal ke pusat mengundi susulan ramalan kemungkinan hujan pada hari pengundian.

Katanya, pengundi juga disaran membawa payung sebagai persediaan menghadapi keadaan cuaca berkenaan, namun tidak menjadikan faktor hujan sebagai alasan untuk tidak keluar mengundi.

“Kalau boleh datang awal, tetapi kalau hujan, bawa payung. Bukan susah sangat, mari mengundi walaupun hujan.

“Apa pun berlaku, datang mengundi,” katanya.

Mengulas persiapan SPR, beliau berkata proses penyediaan kotak undi dan bahan pilihan raya sedang dimuktamadkan bagi memastikan kelancaran urusan petugas pada hari pengundian.

Katanya, petugas pilihan raya turut diberikan taklimat dan diperkenalkan kepada anggota polis yang akan mengiringi serta membantu pergerakan mereka.

Azmi turut mengingatkan semua calon, penyokong dan jentera parti supaya menghentikan segala aktiviti berkempen tepat jam 11.59 malam ini, termasuk menerusi platform media sosial.

Pada PRN Melaka kali ini, sebanyak 240 pusat mengundi melibatkan 1,213 saluran akan dibuka bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 14 November 2026.

Seramai 79 calon disahkan bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 14 November ini.

Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) bertanding di 24 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 23 kerusi, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) (tujuh), Perikatan Nasional (PN) (lima), calon Bebas (tiga) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) (satu). - Awani

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved