TAWAU – Seorang nelayan orang kurang upaya (OKU) penglihatan meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa serangan dalam satu pertengkaran yang berlaku ketika kerja pembaikan sebuah rumah di Felda Umas, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Sukry Mobing, 40, dikatakan terlibat dalam perselisihan dengan dua lelaki warga asing selepas dipercayai ditegur berhubung kelewatan menyiapkan kerja pembaikan rumah milik seorang penduduk.
Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala, mulut dan hidung. Dia ditemukan dalam keadaan berlumuran darah serta mengalami kesukaran bernafas di kawasan jeti awam Felda Umas sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Felda Umas untuk menerima rawatan awal.
Bagaimanapun, mangsa yang kemudiannya dirujuk ke Hospital Tawau disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital pada pukul 1.35 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan keterangan saksi, pertengkaran dipercayai berpunca daripada teguran terhadap mangsa yang didakwa lambat menyiapkan kerja pembaikan rumah.
Menurut beliau, kedua-dua suspek kemudian dipercayai bertindak memukul mangsa menggunakan batang pokok bakau.
“Susulan maklumat yang diterima dan hasil siasatan dijalankan, polis berjaya menahan dua lelaki berusia 23 dan 52 tahun di Pulau Bingkulan, Kalabakan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, punca sebenar kematian masih menunggu keputusan bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik Hospital Tawau.
“Siasatan lanjut sedang diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.






