OKU pendengaran sukar berinteraksi

9 Apr 2026 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohammad Taqiyyuddin sedang memberitahu sesuatu menggunakan bahasa isyarat kepada Muhamad Firdaus ketika ditemui Sinar Harian. Foto Sinar Harian
image is not available
Mohd Norhisham sedang menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi walaupun boleh bertutur.
image is not available
Mohammad Taqiyyuddin memaklumkan walaupun tidak mendengar tetapi pemeriksaan kenderaan dilakukan melalui sentuhan dan getaran objek yang diterima.

KUANTAN - Kekurangan kemudahan mesra komunikasi serta akses perkhidmatan terhad menyebabkan golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran berdepan pelbagai kekangan.

Ia sekali gus menjejaskan urusan harian dan keupayaan berinteraksi dalam masyarakat.

Bagi Mohamad Firdaus Mat Resid, 42, aspek komunikasi menjadi cabaran utama dalam menjalankan tugas harian khususnya di tempat kerja.

Menurutnya, walaupun masih mampu bertutur, masalah pendengaran serius pada kedua-dua telinga menyukarkannya memahami perbualan, sekali gus memaksanya bergantung kepada teknologi penukaran suara kepada teks.

“Tetapi teknologi itu mempunyai had apabila perbualan melibatkan bahasa rojak atau loghat daerah, sekali gus menyukarkan saya menangkap butiran dengan tepat.

“Jadi, ia sedikit sebanyak menjejaskan pemahaman dan saya perlu mendapatkan penjelasan semula bagi memastikan tiada maklumat yang tertinggal,” katanya kepada Sinar Harian.

**media[3485953]**

Bapa kepada empat anak itu berkata, ketiadaan kakitangan mahir bahasa isyarat di kaunter perkhidmatan turut menyukarkan urusan dan memerlukan masa yang lebih lama.

Luahnya, selain jurubahasa isyarat, komuniti mereka sangat bergantung kepada maklumat visual bagi memahami setiap maklumat yang disampaikan dengan jelas.

“Bagi memastikan maklumat penting sampai kepada komuniti pekak, Persatuan Orang Pekak Pahang (PADA) mengambil inisiatif menghasilkan video penerangan dalam bahasa isyarat bagi isu-isu terpilih.

“Kami berharap usaha ini turut diperkasakan oleh media dan agensi kerajaan supaya golongan pekak mendapat akses maklumat lebih menyeluruh,” jelasnya.

Kesukaran yang dihadapi Mohamad Firdaus turut dirasai Mohammad Taqiyyuddin Sarani, 42, yang sudah lebih dua dekad mencari rezeki sebagai mekanik kenderaan.

Bapa kepada lima anak itu memberitahu, dia bergantung kepada nota, isyarat ringkas serta pengalaman bagi mengenal pasti komponen dan kerosakan enjin.

“Saya tidak mendengar, jadi saya bergantung kepada deria sentuhan dan getaran untuk memahami setiap kerja,” kongsinya.

Menurutnya, cabaran menjadi lebih ketara apabila berada di luar premis kerja khususnya dalam situasi yang melibatkan keselamatan.

“Contohnya di jalan raya, saya sukar mengesan bunyi hon kenderaan atau siren ambulans,” ujarnya.

Sementara itu, Che Azlinda Che Ngah, 40, yang berkhidmat sebagai Pegawai Komunikasi Komuniti PADA berkata, perbezaan budaya komunikasi sering menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Katanya, gaya komunikasi komuniti pekak yang lebih langsung kerap disalah tafsir sebagai kurang sopan, sedangkan ia merupakan norma dalam kehidupan mereka.

Dia turut memaklumkan ekspresi muka dalam bahasa isyarat turut membawa makna tertentu dalam struktur bahasa, bukan sekadar menggambarkan emosi.

“Contohnya mengerutkan dahi ketika berisyarat menandakan soalan, tetapi sering disalah tafsir,” ujarnya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan golongan pekak berasa terpinggir serta menjejaskan keyakinan untuk berinteraksi di luar komuniti sendiri.

“Kami hanya mahu difahami dan diberi ruang sama seperti orang lain,” tambahnya.

PERKASAKAN BANTUAN, MANTAPKAN AKTA OKU

**media[3485950]**

Rentetan daripada pelbagai kekangan itu, Pengerusi PADA, Mohd Norhisham Aluwi berharap kerajaan memberi perhatian serius dengan memperkukuh pelaksanaan Akta Orang Kurang Upaya 2008.

Beliau yang juga Guru Pendidikan Khas turut mencadangkan agar setiap agensi kerajaan menyediakan sistem panggilan video bagi memudahkan komunikasi secara langsung dengan golongan pekak.

Menurutnya, latihan asas bahasa isyarat kepada kakitangan barisan hadapan wajar diperluaskan bagi memudahkan interaksi komuniti ini.

“Kami turut mengalu-alukan langkah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang melalui bahagian farmasi yang menyediakan pegawai farmasi berkemahiran bahasa isyarat bagi menerangkan penggunaan ubat di kaunter klinik dan hospital terpilih.

“Inisiatif seperti ini wajar diperluas kepada agensi lain agar golongan pekak tidak terus berdepan kekangan dalam mendapatkan perkhidmatan awam,” jelasnya.

Beliau menambah, perkhidmatan kepada golongan OKU wajar diperkasakan agar mereka menikmati peluang yang sama rata.

Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan golongan pekak tidak terus berdepan kekangan dalam urusan harian, khususnya melibatkan akses maklumat dan komunikasi.

“Dengan adanya kemudahan seperti jurubahasa dan paparan maklumat visual yang jelas, ia akan membantu kami menjalani kehidupan dengan lebih mudah dan yakin,” ujarnya.