OnePlus Pad 4 dilancarkan di India sebentar tadi. Ia menjadi model kemas kini untuk Pad 3 tahun lalu dengan penambahbaikan pada cip pemproses dan kapasiti bateri. Namun begitu, ia sebenarnya hanyalah Oppo Pad 5 Pro yang dijenamakan semula menjadi model tablet untuk OnePlus.

Kapasiti bateri yang besar menjadi tumpuan utama pada tablet ini. Ia membawakan bateri sebesar 13,380 mAh dengan pengecasan pantas 80W SUPERVOOC. Ini dipadankan dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang sepatutnya berkuasa digunakan dalam pelbagai situasi di samping pilihan memori sehingga 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB UFS 4.1.

Seterusnya, skrin sejenis LCD digunakan bersaiz 13.2 inci dengan resolusi 3392×2400 dan kadar segar semula 144Hz. Ia juga mempunyai sistem audio lapan pembesar suara bersama dua mikrofon terbina diikuti dengan kamera utama 12MP dan kamera swafoto sebesar 8MP.

OnePlus Pad 4 turut hadir dengan aksesori baharu yang melengkapinya. Pertama ialah Stylo Pro iaitu stylus generasi baharu yang menawarkan tahap sensitiviti sehingga 16,000 titik tekanan. Stylus ini juga disertakan dengan bahagian hujung boleh ditukar dan getah baharu yang memberikan lebih geseran ketika menulis di atas skrin. Kedua-dua jenis hujung ini disediakan dalam pakej Stylo Pro namun stylus perlu dibeli secara berasingan.

OnePlus juga memperkenalkan kerangka papan kekunci baharu dengan rekaan terapung. Reka bentuk ini membolehkan pengguna menggunakannya seperti komputer riba biasa dan juga boleh diletakkan pada permukaan tidak rata seperti di atas riba. Papan kekunci ini kini hadir dengan lampu latar, kekunci lebih besar serta pilihan untuk menukar antara kekunci gaya Windows dan Mac.
