Ong Kian Ming umum letak jawatan ahli DAP bermula hari ini

LocalPolitics
31 Aug 2026 • 9:34 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Ong Kian Ming umum letak jawatan ahli DAP bermula hari ini

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu disahkan menerusi satu kenyataan di laman Facebook beliau yang ditujukan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Kian Ming, yang menyertai parti berkenaan pada tahun 2012, turut menyatakan bahawa beliau tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat, mahupun bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan akan kekal dengan komitmen untuk membantu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada PRU akan datang.

"Saya tetap komited untuk menunaikan janji yang telah saya buat pada 10 Januari 2026, untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen dalam PRU16, jika beliau diberi kerusi untuk bertanding.

"Saya tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat dan saya tidak berniat untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Mengimbas pembabitannya dalam arena politik tanah air, Kian Ming melahirkan rasa syukur atas peluang yang diberikan untuk berkhidmat kepada parti dan negara sepanjang 14 tahun lalu.

Antara jawatan penting yang pernah disandangnya termasuklah Ahli Parlimen Serdang (2013 hingga 2018), Ahli Parlimen Bangi (2018 hingga 2022), serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari tahun 2018 hingga 2020.

Beliau juga pernah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP (2019 hingga 2022) dan ahli Jawatankuasa DAP Selangor (2018 hingga 2024).

Dalam pada itu, Kian Ming secara khusus merakamkan penghargaan kepada bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, yang menjadi individu bertanggungjawab menjemputnya menyertai parti serta memberi panduan sepanjang perkhidmatannya.

Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

"Saya juga berterima kasih kepada Saudara Lim Guan Eng kerana memberi saya peluang untuk dicalonkan untuk kerusi Parlimen Serdang dan Bangi serta sebagai Timbalan Menteri semasa beliau menjadi Setiausaha Agung DAP," katanya lagi.

Mengulas mengenai hala tuju peribadinya selepas ini, Kian Ming berkata beliau akan terus memberi sumbangan kepada negara menerusi platform lain, termasuk saluran podcast kendaliannya, “Are We OK”, serta peranan penasihat yang disandangnya kini.

"Saya akan terus berkhidmat untuk kepentingan negara melalui cara lain… dan dengan bekerjasama dengan orang lain yang berfikiran sama dengan minat yang sama," katanya sambil menitipkan ucapan Selamat Hari Merdeka. - 31 Ogos, 2026

The post Ong Kian Ming umum letak jawatan ahli DAP bermula hari ini appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved