JOHOR BAHRU - Kerajaan Negeri Johor menafikan dakwaan yang mengaitkan Johor Corporation (JCorp) dengan kejadian kebakaran hutan di Indonesia, sambil menegaskan tuduhan berkenaan tidak berasas dan mengelirukan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dakwaan berkenaan tidak sepatutnya diputarbelitkan sehingga menimbulkan persepsi bahawa institusi pelaburan milik kerajaan negeri itu terbabit dalam kejadian berkenaan.
Menurutnya, JCorp menerusi kenyataan rasmi telah menjelaskan bahawa pihaknya dan syarikat dalam kumpulannya tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia.
“Melalui anak syarikat milik penuhnya, Kulim (Malaysia) Berhad (Kulim), JCorp telah melupuskan kepentingan dalam lima syarikat perladangan di Indonesia pada 2007.
“Seterusnya, Kulim melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam dua syarikat lain di Indonesia pada 6 Julai 2023,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Onn Hafiz berkata, dakwaan yang mengaitkan JCorp dengan pemilikan atau pengendalian operasi semasa syarikat berkenaan serta kejadian kebakaran tersebut adalah palsu dan mengelirukan.
Beliau menegaskan semua pihak berhak menuntut ketelusan dan akauntabiliti, namun perkara itu perlu berlandaskan fakta serta bukti yang sahih.
“Kerajaan Negeri Johor akan terus mempertahankan integriti, kredibiliti dan reputasi negeri daripada sebarang tuduhan yang tidak berasas,"ujarnya.
Sebelum ini, NGO alam sekitar Indonesia, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI), menerusi laporan analisis pemetaan bertajuk Actor Mapping Analysis: Who Are Behind the Fires?, mendakwa 21 syarikat yang mempunyai kaitan dengan entiti perniagaan Malaysia terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia antara Januari hingga September tahun ini.
Laporan itu turut menyatakan analisis data satelit merekodkan sekurang-kurangnya 30,927 titik panas di Indonesia dalam tempoh sembilan bulan berkenaan, dengan hampir 50 peratus daripadanya berada dalam kawasan konsesi syarikat perladangan kelapa sawit dan perhutanan.
Bagaimanapun, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 27 Oktober lalu berkata, pemantauan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati kebakaran tidak bermula di ladang milik syarikat Malaysia, sebaliknya merebak dari kawasan bersebelahan.
Sebelum itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada 16 Oktober memaklumkan semakan kementerian berkenaan mendapati tiada syarikat perladangan Malaysia terlibat dalam aktiviti pembakaran di Indonesia.
Susulan perkembangan itu, JCorp menegaskan kepentingannya dalam beberapa syarikat perladangan Indonesia telah dilupuskan pada 2007 dan 2023, sekali gus menolak dakwaan bahawa pihaknya mempunyai kepentingan pemilikan atau penglibatan operasi semasa dalam syarikat terbabit.






