

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 37 kenderaan termasuk sebuah Honda Civic Type R yang diubah suai mencecah RM150,000 dalam Ops Ekstrem di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Operasi bermula jam 1 pagi hingga 5 pagi itu menyasarkan pengubahsuaian melampau yang mengganggu ketenteraman awam.
Sita Civic Type R RM150k & Suspensi Air Suspension

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan sebanyak 156 kenderaan telah diperiksa dan 97 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan teknikal serta lalu lintas.

Antara yang mencuri tumpuan ialah sebuah Honda Civic Type R dengan kos modifikasi RM150,000 serta beberapa kenderaan yang memasang sistem air suspension bernilai RM15,000 hingga RM25,000. Pengubahsuaian ekstrem ini dilarang kerana merisikokan keselamatan pengguna jalan raya.
485 Notis Dikeluarkan, Nombor Plat Kerap Langgar Peraturan
Sepanjang operasi, JPJ mengeluarkan 485 notis merangkumi 357 saman, 38 arahan periksa, 21 larangan penggunaan kenderaan, 30 arahan kemuka butiran, dan 37 sita di bawah Seksyen 64(1).

Kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (97 kes), diikuti ekzos bising (77 kes), LKM tamat tempoh (66 kes), tiada insurans (57 kes), cermin gelap (44 kes), dan ubah suai bentuk kenderaan (11 kes).
Ops Ekstrem Bakal Diperluas Ke Seluruh Negara
JPJ menegaskan bahawa jalan raya bukan tempat mempamerkan modifikasi melampau atau menguji kelajuan kenderaan.
Tindakan tegas ini tidak akan berhenti di Kuala Lumpur sahaja, sebaliknya Ops Ekstrem akan diperluaskan ke seluruh negara bermula minggu ini. Kenderaan yang ditahan perlu dikembalikan kepada spesifikasi asal sebelum dibenarkan semula.





