Pemuda kantoi guna plat motosikal kakak elak bayar bulanan

8 Sep 2026 • 4:58 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemuda kantoi guna plat motosikal kakak elak bayar bulanan

ALOR SETAR – Tindakan seorang pemuda menggunakan nombor pendaftaran motosikal milik kakaknya didakwa bagi mengelak bayaran bulanan yang tertunggak terbongkar selepas dia ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di sini kelmarin.

Penunggang motosikal berusia 21 tahun yang bekerja di sebuah syarikat perkhidmatan kurier itu ditahan di Kilometer 2, Jalan Langgar-Jalan Dato’ Kumbar, di sini kira-kira pukul 9.30 pagi.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemeriksaan mendapati motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang lelaki itu mempamerkan nombor pendaftaran milik motosikal kakaknya yang juga merupakan model sama.

“Lelaki itu mendakwa dia menggunakan nombor pendaftaran milik kakaknya bagi mengelakkan bayaran bulanan kepada kedai yang telah tertunggak hampir setahun.

“Dia juga memaklumkan bahawa Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikalnya telah tamat tempoh sejak 2024 selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, LKM dan insurans motosikal milik kakak lelaki itu juga didapati telah tamat tempoh.

Selain itu, pemeriksaan lanjut turut mendapati motosikal itu diubah suai dengan menggunakan tayar bukan saiz asal dan memanjangkan bahagian lengan, selain terdapat kesalahan berkaitan sistem brek.

“Motosikal tersebut kemudian disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dibawa ke Depoh Penahanan JPJ Negeri Kedah untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 108(3)(f) APJ 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain, Seksyen 23(1) APJ 1987 kerana LKM tamat tempoh serta Seksyen 90(1) kerana tiada perlindungan insurans. – KOSMO! ONLINE

The post Pemuda kantoi guna plat motosikal kakak elak bayar bulanan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved