
PETALING JAYA – Operasi Pembenihan Awan (OPA) dijadualkan dilaksanakan pada hari ini dan esok bagi mengurangkan kesan jerebu di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataannya memaklumkan, pelaksanaan OPA berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) bagi parameter PM2.5 di kawasan terlibat melebihi 150 untuk tempoh lebih 24 jam berdasarkan bacaan dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Kerajaan melalui Nadma dengan kerjasama Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan OPA ini.
“Operasi ini melibatkan kerjasama agensi berkaitan dengan menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM sebagai aset utama bagi pelaksanaan pembenihan awan,” menurut Nadma, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Nadma, Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, OPA merupakan antara usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan kesan jerebu dan memperbaiki keadaan kualiti udara di kawasan terjejas.
“Pelaksanaan operasi bagaimanapun tertakluk kepada keadaan cuaca dan kewujudan awan yang sesuai bagi proses pembenihan,” katanya.
Katanya, Nadma bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan situasi jerebu dan keadaan cuaca semasa bagi memastikan tindakan yang bersesuaian dapat diselaraskan dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE
The post Operasi Pembenihan Awan kurangkan jerebu di Selangor, KL, Putrajaya appeared first on Kosmo Online.






