OpenAI Melancarkan Daybreak Sebagai Pesaing Kepada Claude Mythos

Technology
12 May 2026 • 1:29 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Beberapa minggu lalu, Anthropic telah memperkenalkan model bahasaraya terbaru mereka yang dinamakan Claude Mythos yang mampu mencari kerentanan sekuriti didalam pelbagai sistem digital, termasuklah laman web dan perisian.

Sistem tersebut telah digunakan oleh beberapa pihak untuk menentukan isu kerentanan sekuriti perkhidmatan mereka, dan beberapa syarikat seperti Mozilla telah menggunakannya untuk mencari pelbagai jenis kerentanan dalam sekelip mata sahaja.

Image from: OpenAI Melancarkan Daybreak Sebagai Pesaing Kepada Claude Mythos

Terkini, OpenAI telah melancarkan Daybreak, sebuah inisiatif keselamatan sistem digital dan perisian yang menggunakan teknologi AI untuk mengimbas sistem digital pelanggan mereka untuk mencari kerentanan sekuriti yang membolehkan mereka untuk memperbaiki keselamatan perisian mereka.

Daybreak menggabungkan kecerdasan model OpenAI dan menggunakan Codex sebagai platform agentik untuk membolehkan pengguna untuk melihat dan menentukan pelbagai kerentanan yang boleh ditemui dalam sistem mereka.

Selain daripada itu, Daybreak juga boleh digunakan untuk semakan kod selamat, pemodelan ancaman, pengesahan tampalan, analisis risiko kebergantungan, pengesanan dan panduan pemulihan ke dalam gelung pembangunan harian supaya perisian mereka adalah lebih selamat untuk digunakan.

OpenAI turut mengatakan bahawa mereka akan bekerjasama dengan pihak kerajaan Amerika Syarikat dan rakan-rakan industri mereka dalam masa terdekat ini untuk menentukan sekiranya Daybreak boleh digunakan pada skala yang lebih meluas.