OpenAI Tangguh Pengenalan GPT-5 – Akan Perkenal Model o3 Terlebih Dahulu

TechnologyDigital
5 Apr 2025 • 9:03 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sam Altman, CEO OpenAI kini berkongsi mengatakan akan memperkenalkan model kecerdasan buatan generasi baharu, o3 dan juga o4-mini dalam beberapa minggu akan datang. Perkongsian ini hadir selepas sebelum ini OpenAI melihat untuk membatalkan pengenalannya dan terus menyasarkan kepada pengenalan GPT-5.

Kini, pihak OpenAI melihat untuk memperkenalkan model berkenaan kembali, selepas pembangunan GPT-5 dilihat mengambil masa yang lebih. Model “o” akan memfokuskan kepada sokongan penaakulan melaluinya, memberikan jawapan yang lebih baik selepas mengambil kira pelbagai perkara berkenaan sesuatu pertanyaan.

GPT-5 disasarkan akan menyatukan pelbagai model dibawah satu – sekaligus memudahkan pengguna dan tidak perlu bertukar-tukar model antara model biasa dan model memfokuskan penaakulan.

Penangguhan ini dikatakan dalam usaha menjadikan GPT-5 lebih baik berbanding sebelum ini. Dan ia juga dilihat lebih mencabar untuk mengintegrasikan semuanya dalam satu penawaran.

GPT-5 dijangka hadir dalam masa beberapa bulan lagi, yang akan menyatukan pelbagai model dibawah satu, termasuk suara, Canvas, carian, penaakulan, dan kajian mendalam melalui model berkenaan.

Sama-sama kita nantikan lanjut pengenalan model OpenAI seterusnya dalam masa terdekat ini.