
BOGOTA: Pasukan penyelamat Colombia bertungkus-lumus mencari mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan, dua hari selepas gempa bumi kuat mengorbankan 265 nyawa di kawasan lembah barat dan wilayah pengeluar kopi negara itu.
“Kami berlumba dengan masa untuk menyelamatkan nyawa,” kata Datuk Bandar Cali, Alejandro Eder, kepada pemberita, sambil memaklumkan tempoh kritikal 72 jam untuk mencari mangsa terselamat akan berakhir dalam tempoh kurang sehari.
Menurutnya, pasukan penyelamat akan terus menjalankan operasi selepas tempoh berkenaan, namun usaha menyelamat perlu dipergiat bagi mencari seramai mungkin mangsa yang masih hidup.
Beliau berkata, keadaan perlu dikekalkan dalam keadaan senyap dan teratur bagi membolehkan pasukan penyelamat mengesan mangsa yang mungkin masih terperangkap di bawah timbunan runtuhan.
Menurut anggaran rasmi, gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda negara Amerika Selatan itu selepas pukul 7 pagi waktu tempatan pada Isnin turut mencederakan 3,770 orang, memusnahkan lebih 9,550 rumah dan menjejaskan lebih 30,300 keluarga.
Di Cali, bandar ketiga terbesar Colombia, sebanyak 56 bangunan runtuh, mengorbankan sekurang-kurangnya 95 orang dan mencederakan hampir 1,000 yang lain, menurut data Asocapitales, persatuan ibu negara dan bandar utama Colombia.
Pereira, yang terletak di tengah wilayah pengeluar kopi dan kira-kira 55 kilometer dari pusat gempa, merekodkan sekurang-kurangnya 79 kematian, menurut Asocapitales. Pejabat Datuk Bandar pula berkata kira-kira 300 orang masih hilang.
Ketua Persekutuan Kopi Colombia, German Bahamon, berkata operasi di pelabuhan Buenaventura dihentikan sementara bagi membolehkan pemeriksaan dijalankan untuk menilai kesan tanah runtuh terhadap jalan utama.
Bagaimanapun, katanya, eksport terus berjalan seperti biasa, terutama melalui pelabuhan di Caribbean.
Colombia merupakan pengeluar kopi ketiga terbesar dunia, dengan ratusan ribu keluarga bergantung kepada sektor berkenaan.
Gempa bumi itu berlaku hanya beberapa hari selepas Abelardo De La Espriella mengangkat sumpah sebagai Presiden Colombia selepas memenangi kemenangan tipis ke atas calon kerajaan berhaluan kiri sebelum ini, dengan kempen beliau berteraskan pengurangan perbelanjaan awam dan langkah keselamatan lebih tegas.
Beliau mengunjungi kawasan terjejas awal minggu ini dan berjanji menyalurkan bantuan kepada mereka yang kehilangan rumah serta perniagaan akibat gempa.
“Gempa bumi ini akan menjadi ujian pertama buat presiden baharu Colombia,” kata Tiziano Breda, penganalisis kanan Amerika Latin dan Caribbean di kumpulan pemantau konflik ACLED.
Beberapa datuk bandar tempatan turut mengumumkan perintah berkurung pada waktu malam berikutan kebimbangan berlaku kejadian kecurian dan rompakan.- AGENSI
The post Operasi cari mangsa gempa Colombia masuk fasa kritikal appeared first on Utusan Malaysia.






