111 penduduk maut gempa bumi Colombia

11 Aug 2026 • 9:43 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 111 penduduk maut gempa bumi Colombia

BOGOTA: Sukarelawan dan anggota penyelamat Colombia mengais runtuhan dengan tangan dan baldi pada Isnin, mencari mangsa yang masih hidup susulan gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang telah meragut sekurang-kurangnya 111 nyawa.

Gempa bumi itu melanda beberapa bandar di kawasan pengeluar kopi yang indah dan wilayah Pasifik Colombia sejurus selepas 7.30 pagi waktu tempatan, menyebabkan penduduk yang panik berlari keluar ke jalan raya dan merosakkan sekurang-kurangnya 1,500 bangunan.

“Orang ramai berlari keluar tanpa pakaian, ada yang melompat dari tingkat dua rumah mereka,” kata Wilmer Cuesta, seorang pelajar undang-undang di Quibdo, kepada AFP. Presiden Colombia Abelardo de la Espriella hanya tiga hari selepas mengangkat sumpah jawatan mengisytiharkan darurat dan berikrar untuk melaksanakan usaha menyelamat secara menyeluruh.

Di Cali, sukarelawan segera bekerja menggunakan beliung, peralatan asas dan tangan mereka sendiri dalam usaha mencari mangsa yang masih hidup. 

Andres Felipe Mejia antara mereka yang menyertai pasukan penyelamat yang dibentuk secara spontan.

“Kami cuba mengeluarkan semua orang dalam keadaan hidup. 

“Salah seorang anggota penyelamat meminta sesiapa yang terperangkap supaya bersiul dan seseorang membalas siulan itu,.”

“Mereka berjaya mengeluarkan seorang lelaki dan seorang bayi, tetapi isterinya masih berada di dalam (runtuhan),” katanya berhampiran sebuah bangunan bertingkat yang runtuh menyembah bumi.

Anggota penyelamat membentuk rantaian manusia untuk mengalihkan batu bata dan serpihan binaan, berhenti setiap beberapa minit untuk mendengar sebarang tanda kehidupan daripada mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

“Ramai orang datang, membawa bekalan dan makanan, membantu anggota bomba serta membantu orang ramai,” tambahnya.

Pemandangan kemusnahan dapat dilihat di beberapa bandar, dengan perabot dan kain terselit di celah konkrit, manakala dinding selain lantai bangunan tercampak pada sudut yang tidak teratur manakala kabel berselerak di jalan raya.

Kemusnahan itu berlaku kurang dua bulan selepas dua gempa bumi kuat melanda negara jiran, Venezuela, yang mengorbankan lebih 6,300 orang dan menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.

Hospital di lima bandar Colombia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tahap merah pada Isnin, manakala perintah berkurung pada waktu malam diisytiharkan di Cali, menurut pihak berkuasa tempatan.

Sekurang-kurangnya enam lapangan terbang tempatan menghentikan operasi, menurut agensi penerbangan awam.

Bintang pop Colombia, Shakira, mengetuai seruan supaya rakyat bersatu.

“Segala kekuatan dan kasih sayang saya untuk tanah air tercinta. Marilah kita saling berpelukan erat,” katanya.

Pihak berkuasa memberi amaran jumlah korban mungkin meningkat ketika anggota penyelamat mencari mangsa di bangunan yang runtuh di beberapa bandar.

Di Manizales, seorang wartawan AFP melihat banyak bangunan rosak, termasuk menara sebuah katedral neo-Gotik yang menjadi mercu tanda dan disayangi penduduk bandar itu, yang mengalami kerosakan teruk.

Semua perlawanan bola sepak profesional yang dijadualkan akan datang ditangguhkan.

Ucapan sokongan diterima dari negara-negara di rantau ini dan seluruh dunia.

Gempa itu dirasai di seluruh Colombia, termasuk di ibu negara Bogota, apabila orang ramai berpusu-pusu keluar ke jalan raya dengan masih memakai pakaian tidur.

Pada kedalaman 110 kilometer, gempa itu turut dirasai di negara jiran Ecuador dan Panama. – AFP

The post 111 penduduk maut gempa bumi Colombia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved