liza28/09/2026 - 11:17 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept – Risiko kawal selia di Indonesia menjadi kebimbangan utama terhadap prospek TSH Corporation Bhd apabila tindakan penguatkuasaan lanjut berpotensi menjejaskan kawasan tanah produktif dan keuntungan kumpulan pada masa depan, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, persoalan lebih besar kini ialah sama ada tindakan susulan pihak berkuasa Indonesia boleh memberi kesan kepada tanah yang sedang beroperasi serta prestasi kewangan TSH, susulan isu pematuhan melibatkan anak syarikatnya di Kalimantan Tengah.
TSH mempunyai pendedahan besar di Indonesia dengan kira-kira 91.4% daripada keseluruhan kawasan tanaman seluas 38,654 hektar berada di negara itu, manakala selebihnya terletak di Sabah.
Anak syarikat TSH, PT Sarana Prima Multi Niaga (SPMN), yang dimiliki 90% oleh kumpulan itu, mengendalikan kira-kira 7,114 hektar kawasan tanaman di Kalimantan Tengah.
Risiko tanah produktif jadi perhatian
MBSB Research berkata, kawasan tanaman SPMN itu mewakili kira-kira 20.1% daripada keseluruhan kawasan tanaman TSH di Indonesia, menjadikan sebarang kehilangan kawasan produktif berpotensi memberi kesan kepada keuntungan kumpulan pada masa depan.
Menurutnya, perkara yang menimbulkan ketidakpastian ialah butiran pelanggaran yang membawa kepada tindakan penguatkuasaan tersebut masih belum didedahkan yang menyebabkan kemungkinan tindakan lanjut terhadap sebahagian kawasan tanaman SPMN tidak dapat diketepikan.
MBSB Research turut menyebut laporan tempatan pada Mei 2026 mengenai pertikaian tanah seluas 122.5 hektar antara SPMN dengan keluarga Ondol di Kalimantan Tengah, namun firma itu tidak dapat mengesahkan sama ada pertikaian berkenaan mempunyai kaitan dengan tindakan penguatkuasaan yang baru diumumkan.
Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan semua unjuran kewangannya buat masa ini sementara menunggu maklumat lanjut bagi menilai sama ada isu tersebut mempunyai kesan kewangan atau operasi yang berpanjangan.
ARTIKEL BERKAITAN: TSH Resources didenda RM42 juta di Indonesia
MBSB Research kekalkan penarafan Neutral, harga sasaran RM1.28
MBSB Research mengekalkan penarafan Neutral terhadap TSH dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.28 berdasarkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY2026 sebanyak 10.3 sen dan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 12.5 kali.
Penilaian itu secara amnya sejajar dengan purata sejarah lima tahun TSH, manakala harga saham syarikat berada pada RM1.37 pada 25 September 2026.
MBSB Research berkata, saranan Neutral dikekalkan kerana masih terdapat ketidakpastian mengenai kesan sebenar isu kawal selia tersebut terhadap operasi dan kewangan kumpulan, khususnya sekiranya tindakan lanjut menjejaskan kawasan tanah produktif.
Firma itu mengunjurkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti teras (PATAMI) TSH pada RM134.6 juta bagi FY2026, sebelum meningkat kepada RM157.1 juta pada FY2027 dan RM162.6 juta pada FY2028.
Anak syarikat didenda kira-kira RM42 juta
Dalam perkembangan berkaitan, TSH memaklumkan SPMN telah dikenakan denda kira-kira RM42 juta oleh Pasukan Petugas Penguatkuasaan Kawasan Hutan Indonesia susulan operasinya di Kalimantan Tengah.
Denda itu akan dibayar dalam empat ansuran dengan bayaran pertama perlu dibuat pada 25 September 2026, namun TSH masih belum mendedahkan jumlah setiap ansuran, tempoh pembayaran baki ansuran atau pelanggaran khusus yang menyebabkan denda berkenaan.
MBSB Research berkata, berdasarkan pihak berkuasa yang terlibat, denda itu berkemungkinan berkaitan pematuhan penggunaan tanah hutan, walaupun perkara tersebut masih belum disahkan.
Sekiranya TSH mengiktiraf keseluruhan denda kira-kira RM42 juta dalam FY2026, MBSB Research menganggarkan PATAMI teras boleh susut kepada RM96.8 juta berbanding unjuran semasa RM134.6 juta selepas mengambil kira kepentingan minoriti 10% dalam SPMN.
Bagaimanapun, MBSB Research menganggap denda itu sebagai caj sekali sahaja dan akan mengecualikannya daripada pengiraan PATAMI teras, selain mengekalkan unjuran sedia ada sehingga TSH mendedahkan butiran lanjut mengenai jumlah ansuran, tarikh pembayaran dan layanan perakaunan bagi denda tersebut.
Saham TSH Resources Bhd susut sehingga 13 sen atau 9.5% kepada RM1.24, paras terendah sejak 21 Ogos, sebelum didagangkan pada RM1.28 pada 9.30 pagi 28 Sept 2026. - DagangNews.com






