TSH Resources didenda RM42 juta di Indonesia

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 6:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TSH Resources didenda RM42 juta di Indonesia Image from: TSH Resources didenda RM42 juta di Indonesia amree25/09/2026 - 18:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Sept – TSH Resources Berhad didenda 184.35 bilion rupiah (RM42 juta) oleh pihak berkuasa Indonesia melibatkan anak syarikat tidak langsungnya, PT Sarana Prima Multi Niaga (PT SPMN), yang mengendalikan operasi perladangan kelapa sawit di Kalimantan Tengah.

 

Denda itu dikenakan oleh pasukan petugas khas tempatan yang dikenali Satuan Tugas Penertiban Kawasan Hutan Indonesia, dengan PT SPMN dilaporkan sudah menandatangani surat pernyataan sebagai pengakuan terhadap hukuman denda berkenaan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan perladangan tersebut bagaimanapun tidak menyatakan dalam makluman tersebut apakah sebab atau kesalahan yang membawa kepada pengenaan denda berkenaan terhadap PT SPMN.

 

Kelazimannya, hukuman itu dilaksanakan ke atas syarikat yang mengusahakan aktiviti pertanian tanpa pematuhan kepada undang-undang ditetapkan pihak berkuasa antaranya tiada kebenaran.

 

Sebaliknya, TSH Resources hanya menyatakan, PT SPMN akan menjelaskan denda tersebut menerusi empat kali ansuran, dengan bayaran pertama perlu dibuat selewat-lewatnya pada 25 September 2026.

 

PT SPMN merupakan anak syarikat tidak langsung yang dimiliki 90% oleh TSH Resources, sekali gus menjadikan tindakan penguatkuasaan itu melibatkan operasi kumpulan di Indonesia.

 

Menurut sumber yang diterbitkan, PT SPMN mengendalikan kira-kira 7,114.14 hektar ladang kelapa sawit serta sebuah kilang minyak sawit di Kalimantan Tengah.

 

TSH Resources_DagangNews2026

 

Operasi PT SPMN merangkumi aktiviti penanaman dan pengurusan kelapa sawit, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK), selain membekalkan tandan buah segar (FFB) daripada ladang miliknya.

 

Denda pentadbiran itu turut dijangka memberi implikasi kepada aliran tunai PT SPMN berikutan bayaran perlu dibuat dalam tempoh yang ditetapkan pihak berkuasa menerusi sebanyak empat ansuran.

 

Walaupun jumlah denda dinyatakan dalam makluman Bursa Malaysia, TSH Resources tidak memberikan butiran lanjut mengenai kesan kewangan keseluruhan tindakan tersebut terhadap kumpulan.

 

PT SPMN kekal sebagai sebahagian daripada operasi perladangan TSH Resources di Indonesia, dengan aset ladang dan kilang kelapa sawitnya menjadi antara asas aktiviti pengeluaran kumpulan di negara berkenaan.

 

Perkembangan itu menunjukkan operasi perladangan di Indonesia turut terdedah kepada tindakan penguatkuasaan berkaitan kawasan hutan, dengan TSH Resources perlu menyelesaikan denda tersebut mengikut jadual bayaran yang ditetapkan pihak berkuasa Indonesia. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved