hamden28/09/2026 - 14:32 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Sept - TSH Resources Berhad menjelaskan denda pentadbiran sebanyak IDR184.347 bilion (kira-kira RM42 juta) yang dikenakan ke atas anak syarikat Kumpulan di Indonesia, PT Sarana Prima Multi Niaga (PT SPMN), tidak akan mengurangkan keluasan hektar tanaman yang dilaporkan Kumpulan atau menjejaskan nilai aset perladangannya.
Dalam makluman lanjut kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, perkara tersebut tidak memberi kesan terhadap keluasan tanaman yang dilaporkan kerana kawasan terjejas seluas 1,228.89 hektar terletak di luar kawasan HGU PT SPMN.
“Kumpulan juga pada masa ini tidak menjangkakan sebarang penjejasan nilai terhadap aset perladangannya yang berpunca daripada kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu menyebut, daripada keseluruhan kawasan terjejas, seluas 496.69 hektar telah ditanam sebelum pengambilalihan PT SPMN oleh Kumpulan, manakala 732.20 hektar lagi ditanam oleh masyarakat tempatan.
Memandangkan kedua-dua kawasan tersebut berada di luar HGU PT SPMN, ia tidak termasuk dalam keluasan kawasan tanaman yang dilaporkan Kumpulan.
ARTIKEL BERKAITAN: TSH Resources didenda RM42 juta di Indonesia
Sementara itu, PT SPMN pada 16 September 2026 telah menandatangani surat pengakuan berkaitan denda pentadbiran tersebut bagi memudahkan rundingan pelan pembayaran secara ansuran sementara menunggu penjelasan lanjut dan proses rayuan.
Berdasarkan surat berkenaan, denda itu akan dibayar dalam empat ansuran bulanan bermula 25 September 2026 sebanyak IDR46.3 bilion (kira-kira RM10.5 juta), diikuti tiga bayaran masing-masing IDR46.0 bilion (kira-kira RM10.5 juta) pada 25 Oktober, 25 November dan 25 Disember 2026.
Denda pentadbiran itu akan diiktiraf dalam penyata kewangan Kumpulan bagi suku ketiga 2026.
Bagaimanapun, Kumpulan berkata selain denda berkenaan, tiada impak material lain terhadap kedudukan kewangan dan operasi Kumpulan.
Dalam pada itu, satu-satunya perkara yang masih menunggu penjelasan muktamad daripada Satuan Tugas Penertiban Kawasan Hutan Indonesia (Satgas) melibatkan kawasan seluas 61.09 hektar di PT Teguh Swakarsa Sejahtera (PT TSS) yang ditanam di luar kawasan HGU.
Berdasarkan maklumat semasa, Kumpulan berkata selain perkara berkaitan PT TSS itu, ia tidak mengetahui sebarang isu lain yang masih belum diselesaikan melibatkan Satgas.
Kumpulan akan membuat pendedahan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berkaitan perkara PT TSS tersebut. - DagangNews.com





