Operasi pembenihan awan di Sarawak diteruskan – Ahmad Zahid

LocalEnvironment
6 Sep 2026 • 12:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Operasi pembenihan awan di Sarawak diteruskan – Ahmad Zahid

ISKANDAR PUTERI: Operasi pembenihan awan khususnya di Sarawak akan diteruskan bagi mengurangkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negeri berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dua kawasan yang merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat hari ini adalah di Kuching dan Sri Aman.

Beliau yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga memberitahu, keadaan di Serian yang diisytiharkan darurat sebelum ini telah menunjukkan perkembangan positif dengan bacaan IPU yang semakin menurun.

“Kita harap sempena sambutan Hari Malaysia di Kuching, dengan adanya operasi pembenihan awan, keadaan jerebu semakin baik dan dapat menurunkan tahap indeks pencemaran udara di negeri Sarawak khususnya.

“Kita juga terima nasihat MetMalaysia agar pembenihan awan ini dibuat mengikut luruan angin di kawasan terjejas,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Sukan EduCity, di sini hari ini.

Berdasarkan rekod bacaan IPU setakat pukul 9 pagi tadi menunjukkan bacaan 229 di Kuching, manakala bacaan 215 di Sri Aman.

Sebelum ini, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim dilaporkan berkata, pembenihan awan di seluruh Sarawak sedang dilakukan sehingga Isnin depan bagi mengurangkan masalah jerebu yang melanda negeri berkenaan.

Sementara itu, mengulas tentang program, Ahmad Zahid berharap penganjuran KSOA diharap dapat meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Orang Asli melalui aspek sukan dan juga pendidikan.

KSOA anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang berlangsung sejak kelmarin hingga hari ini menghimpunkan seramai 432 atlet Orang Asli dari seluruh Semenanjung Malaysia dalam tujuh acara sukan iaitu Bola Sepak, Bola Jaring, Badminton, Menyumpit, Boling, Sepak Takraw dan Batu Seremban.-UTUSAN

The post Operasi pembenihan awan di Sarawak diteruskan – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved