
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melaksanakan operasi pembenihan awan hari ini dan esok bagi membantu mengurangkan jerebu susulan bacaan bahan zarah halus (PM2.5) yang kekal tinggi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim, berkata operasi itu susulan bacaan PM2.5 melebihi paras 150 selama lebih 24 jam di kawasan terjejas berdasarkan data Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Menurut beliau, operasi berkenaan membabitkan NADMA, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dengan pesawat C-130 Hercules digunakan sebagai aset utama.
“Operasi ini adalah antara usaha kerajaan bagi membantu mengurangkan kesan jerebu serta memperbaiki kualiti udara di kawasan yang terjejas.
“Bagaimanapun, pelaksanaan operasi bergantung kepada keadaan cuaca serta kewujudan awan yang sesuai bagi proses pembenihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
NADMA bersama agensi berkaitan akan terus memantau keadaan jerebu dan cuaca semasa bagi menyelaras langkah susulan berdasarkan perkembangan terkini.
Operasi berkenaan dilaksanakan sebagai usaha membantu meningkatkan kualiti udara di tiga kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi di negara ini, namun keberkesanannya bergantung kepada kewujudan awan yang sesuai untuk proses pembenihan. - Getaran, 19 September 2026






