Operasi selaras sempadan Malaysia-Indonesia di Sabah lancar

LocalPolitics
28 Oct 2026 • 4:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Operasi selaras sempadan Malaysia-Indonesia di Sabah lancar

NABAWAN: Operasi penyelarasan tanda sempadan darat antarabangsa Malaysia-Indonesia di kawasan Masalah Sempadan Tertangguh (OBP) Sungai Sinapad dan Sungai Sesai, Sabah, berjalan lancar menerusi kerjasama erat pasukan kedua-dua negara.

Operasi tersebut melibatkan 29 petugas dari kedua-dua negara bagi memastikan kedudukan sempadan selaras dengan jajaran baharu yang dipersetujui bersama.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, operasi yang bermula pada 9 Okt lalu itu melibatkan 12 anggota Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), lapan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta sembilan anggota pasukan ukur Republik Indonesia.

Beliau berkata, penyelarasan tanda sempadan berkenaan dilaksanakan berdasarkan jajaran yang dipersetujui menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) pada 18 Feb 2025 di Jakarta, Indonesia.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memberikan kepastian terhadap kedudukan sempadan negara, memperkukuh asas perundangan persempadanan serta memelihara kedaulatan wilayah Malaysia dan Indonesia.

“Kerjasama ini mencerminkan semangat muhibah, sikap saling mempercayai dan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dengan Republik Indonesia.

“Kerjasama ini sangat penting bagi memastikan urusan persempadanan dapat dilaksanakan secara teratur, lancar dan berkesan, dengan mengambil kira kepentingan serta kedaulatan kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program turun padang dan santunan lapangan bersama pasukan ukur Jupem di kawasan sempadan darat antarabangsa Malaysia-Indonesia bagi OBP Sungai Sinapad-Sungai Sesai, Sabah.

Arthur berkata, operasi berkenaan turut berdepan cabaran fizikal dan logistik berikutan keadaan kawasan sempadan yang diliputi hutan tebal, sekali gus menuntut tahap profesionalisme, disiplin serta semangat berpasukan yang tinggi daripada semua petugas.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan semua agensi terlibat atas sokongan serta kerjasama dalam memastikan operasi berkenaan berjalan lancar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved