
SEMPORNA: Polis Marin berjaya menggagalkan cubaan menyeludup petrol ke luar negara melalui perairan Pulau Omadal dan Tanjung Pantau Pantau pada malam Isnin.
Operasi yang dijalankan serentak di Semporna dan Sandakan sekitar jam 8 malam itu membawa kepada penahanan sebuah bot serta seorang suspek warga asing di Semporna kata Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah ACP Mohd Nazri Ibrahim.
Dalam operasi di Semporna pihak berkuasa merampas 5,400 liter diesel dan 51 tong jerry yang berisi petrol.
Sementara itu di Sandakan dua lelaki tempatan ditahan dalam operasi di Jalan Cecily, Sibuga.
Pihak berkuasa turut merampas sebuah lori tangki, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua tangki skid yang dipercayai digunakan untuk pengedaran diesel bersubsidi secara haram.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan daripada kedua-dua operasi tersebut dianggarkan sebanyak RM482,672.25.
ACP Mohd Nazri berkata kes berkenaan sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah tetap komited mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan demi menjaga keselamatan dan kebajikan negara,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya bekerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang melanggar undang-undang negara.



