Oppo telah memperkenalkan A7 Pro Max dengan bateri berkapasiti 10,000mAh. Peranti ini menjadi telefon Oppo dengan kapasiti bateri terbesar setakat ini. Fokus utama jelas diberikan terhadap ketahanan penggunaan jangka panjang bagi memenuhi keperluan pengguna yang mahukan peranti tahan lama.

Peranti ini hadir dengan paparan AMOLED FHD+ berukuran 6.78 inci yang menyokong kadar segar semula 120Hz, paparan warna 10-bit dan kecerahan maksimum sehingga 1,800 nits. Ini digabungkan dengan cip Snapdragon 4 Gen 5 bersama pilihan memori sehingga 12GB LPDDR4X RAM serta storan dalaman 512GB UFS 3.1.
Bahagian kamera menampilkan sensor hadapan 50MP, manakala di belakang terdapat kamera utama 50MP dengan OIS bersama sensor monokrom 2MP, LED flash dan lampu notifikasi. Kedua-dua kamera turut menyokong rakaman video sehingga resolusi 1080p yang sesuai untuk kegunaan harian.

Bateri 10,000mAh pada peranti ini menggunakan teknologi Glacier Battery serta teknologi eksklusif sfera silikon-karbon daripada Oppo. Ia menyokong pengecasan pantas 80W SuperVOOC dan turut menawarkan pengecasan berbalik 27W. Dengan gabungan ini, ia menjadi antara telefon yang menawarkan sistem pengecasan serba boleh di pasaran.
Ciri tambahan yang melengkapkan peranti ini termasuk pengimbas cap jari optikal terbina di skrin, pembesar suara stereo, sokongan NFC, IR Blaster, penarafan kalis air dan debu IP66/IP68/IP69/IP69K dan menjalankan ColorOS 16 yang berasaskan Android 16. Peranti juga menyediakan AI Outdoor Mode 2.0 untuk paparan lebih jelas di bawah cahaya matahari.

Harga jualan di China bermula pada RMB2,199 (~RM1,333) untuk model 8GB+128GB. Bagi model 12GB+256GB pula, harganya RMB2,699 (~ RM1,636). Sementara itu, model tertinggi 12GB+512GB ditawarkan pada RMB2,999 (~RM1,818.).




