Oppo Enco Clip2 Boleh Didapati Di Malaysia Pada Harga RM799

LocalTechnology
21 Apr 2026 • 9:36 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Produk lain yang turut diumumkan hari ini ialah Oppo Enco Clip2. Ia merupakan fon telinga terbuka dengan rekaan subang generasi kedua selepas model Clip sebelum ini. Ia turut mendapat kerjasama Dynaudio untuk talaan muzik yang lebih baik di samping ciri berasaskan AI yang mempertingkatkan pengalaman penggunaan agar lebih pintar.

Image from: Oppo Enco Clip2 Boleh Didapati Di Malaysia Pada  Harga RM799

Model baharu ini hadir dengan gabungan pemacu audio dinamik sebesar 9mm + 11mm bersama sistem dwi-DAC. Audio turut ditala oleh syarikat audio Dynaudio yang terkenal dengan pembesar suara mereka, untuk menghasilkan profil bunyi yang cukup mengagumkan. Ia juga dilengkapi teknologi Crystal-Clear Bone Calls yang menggunakan VPU untuk menangkap getaran suara melalui tulang rahang dan saluran telinga sekali gus menjadikan panggilan lebih jelas.

Image from: Oppo Enco Clip2 Boleh Didapati Di Malaysia Pada  Harga RM799

Tambatan pantas boleh dibuat melalui Bluetooth 6.1 dengan sokongan LHDC 5.0, AAC dan SBC. Setiap fon telinga dilengkapi bateri berkapasiti 58mAh manakala POD pengecas pula hadir dengan bateri 530mAh. Selain itu, ia juga kalis air dengan penarafan IP55.

Oppo Enco Clip2 ditawarkan pada harga RM799 dengan pra-tempahan dibuka sehingga 7 Mei. Pembeli turut menerima rebat RM200 menjadikannya berharga serendah RM599 melalui laman web rasmi dan pengedar sah OPPO Malaysia.