Oppo hari ini secara rasminya memperkenalkan telefon mercu mereka pada peringkat global, iaitu Oppo Find X9 Ultra. Sebanyak dua versi ditawarkan di Malaysia, iaitu dengan 12GB RAM dan 512GB storan pada harga RM6799, dan 16GB RAM serta 1TB storan pada harga RM7799.

Oppo Find X9 Ultra memfokuskan kepada keupayaan kamera pada telefon berkenaan, dikuasakan dwi-kamera 200MP Hasselblad, selain kamera telefoto 10x 50-megapixel. Gabungan ini menawarkan kualiti rakaman yang sangat tinggi menggunakan kamera ini – dipadankan dengan sokongan penyuntingan dan beberapa mod rakaman khusus melaluinya – termasuk dalam bentuk RAW.
Selain spesifikasi yang baik, serta sokongan perisian dan perkakasan baik, Oppo turut menyediakan sebuah kit khusus yang memberikan lebih kawalan pada pengambaran, termasuk untuk zum akan rakaman gambar jarak jauh melalui lensa tambahan.

Oppo turut menyatakan peranti ini hadir dengan sokongan pengambaran video yang baik, termasuk rakaman sinematik terbaik pada peranti Oppo setakat ini, membolehkan rakaman 4K 60fps Dolby Vision HDR, atau pada kadar 8K 30fps. Dan untuk penyuntingan lebih menyeluruh, pengguna turut boleh merakamkannya dengan sokongan O-Log2, selain turut menawarkan kawalan kreatif 3D Lut. Oppo turut menyatakan mereka sedang bekerjasama dengan pihak Meta, dalam mengoptimasikan lebih baik untuk perkongsian video ke Instagram daripada Oppo Find X9 Ultra.

Dari segi spesifikasi, Oppo Find X9 Ultra hadir dengan skrin 6.82-inci QHD+ AMOLED dengan kadar segar semula 144Hz, cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, bateri 7050mAh, dan sokongan pengecasan pantas 100W. Ia turut hadir dengan sokongan kalis air dan debu IP66, IP68 dan IP69. Melengkapkan telefon pintar ini adalah sistem operasi Android terkini dengan antaramuka ColorOS 16.

Bersempena dengan pelancaran ini, bagi anda yang membeli pada fasa pra-tempahan sehingga 7 Mei 2026 ini akan menerima penaik-tarafan kepada storan 1TB secara percuma, membuatkan anda boleh membeli versi 16GB RAM + 1TB storan pada harga RM6799.




