
Oppo kini mengesahkan penawaran peranti bajet baharu dengan bateri berkapasiti besar 10,000mAh yang akan dikenali sebagai A7 Pro Max. Kapasiti ini menjadikannya telefon Oppo dengan bateri terbesar setakat ini sekali gus memberi tumpuan kepada ketahanan penggunaan jangka panjang.

Buat masa ini, Oppo hanya menyiarkan pengumuman awal tanpa mendedahkan harga atau tarikh pelancaran rasmi. Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan bahawa peranti ini tetap mengekalkan rekaan moden serta spesifikasi berdaya saing bagi memenuhi keperluan pengguna dalam segmen bajet masa kini.
Menariknya lagi, kapasiti 10,000mAh yang dibawakan merupakanyang terbesar pernah digunakan dalam telefon Oppo. Ia dikatakan mampu mengekalkan sehingga 80% kapasiti selepas 1,500 kitaran pengecasan penuh sekali gus memperlihatkan aspek ketahanan jangka panjang yang menjadi kelebihan utama peranti ini.
Dari segi rekaan, peranti dilihat hadir dalam warna biru dengan modul kamera belakang yang menyerupai iPhone 17 Pro. Badannya lebih nipis dengan ketebalan 8.47mm serta berat sekitar 226 gram.
Bahagian hadapan pula dijangka menampilkan skrin OLED 6.78 inci beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula 120Hz. Peranti sudah boleh ditempah di China namun harga rasmi, spesifikasi penuh serta tarikh pelancaran masih belum diumumkan oleh Oppo.






