
Oppo menambah satu pilihan baharu dalam siri Reno16 dengan memperkenalkan varian storan 12 + 512GB. Penawaran ini merupakan peningkatan berbanding model terdahulu yang hanya hadir dengan kapasiti 256GB.
Bagi pengguna yang berminat, Oppo Reno16 dengan storan 512GB kini ditawarkan pada harga RM3,499 dan boleh dibeli melalui saluran rasmi Oppo sama ada secara dalam talian atau di kedai fizikal. Sempena pelancaran ini, Oppo menyediakan rebat pengenalan sebanyak RM200, kotak hadiah eksklusif Reno16 Series serta pelan perlindungan skrin percuma selama setahun bagi setiap pembelian sehingga 16 Ogos 2026.
Selain daripada itu, Oppo turut menjalin kerjasama dengan ikon kartun terkenal Pingu bagi menghasilkan edisi terhad yang comel dan unik. Melalui kerjasama eksklusif ini, Oppo memperkenalkan barangan khas Reno16 x Pingu. Mana-mana pelanggan yang membeli Oppo Bubbles akan menerima Pingu Bubble Case eksklusif selagi stok masih ada. Aksesori ini sekali gus menjadi pelengkap istimewa untuk siri Reno16.
Oppo Reno16 hadir dengan skrin AMOLED 6.32 inci yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Ia dikuasakan cip Snapdragon 7 Gen 4 bersama antaramuka ColorOS 16 serta bateri 6700mAh berasaskan teknologi Silicon-Carbon yang menyokong pengecasan 80W.

Sistem kamera pula terdiri daripada empat sensor 50MP merangkumi kamera utama, ultra lebar, telefoto dan kamera hadapan. Reno16 turut dilengkapi ciri tambahan seperti IP66/IP68/IP69/IP69K, pembesar suara stereo, sokongan Bluetooth 5.4 dan sensor cap jari optikal di bawah skrin.




