liza05/10/2026 - 15:17 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt – Oppstar Technology Sdn Bhd, anak syarikat Oppstar Berhad menyertai Rapidus Collaborative Open Rapid Ecosystem (Rapidus CORE) sebagai rakan penyelesaian reka bentuk cip bagi menyokong pembangunan semikonduktor termaju menggunakan teknologi pembuatan 2 nanometer (2nm) Rapidus.
Kerjasama itu membolehkan Oppstar memanfaatkan kepakarannya dalam reka bentuk litar bersepadu (IC), susun atur fizikal cip dan pembangunan harta intelek (IP) bagi membantu pelanggan menghubungkan reka bentuk produk mereka dengan platform pembuatan cip 2nm milik Rapidus.
Perkembangan itu hadir ketika permintaan global terhadap cip berprestasi tinggi dan cekap tenaga terus meningkat, khususnya bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi.
Menurut Oppstar, keperluan untuk menghubungkan reka bentuk cip yang kompleks dengan teknologi pembuatan termaju kini semakin penting bagi mempercepatkan pembangunan cip generasi baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Oppstar, Ng Meng Thai berkata, penyertaan dalam Rapidus CORE membolehkan syarikat itu menggabungkan keupayaan reka bentuknya dengan teknologi proses pembuatan 2nm Rapidus.
Mudahkan pembangunan cip generasi baharu
"Industri semikonduktor sangat bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak dalam ekosistem.
“Dengan menggabungkan keupayaan reka bentuk Oppstar dengan proses pembuatan 2nm Rapidus serta kerjasama dengan pihak berkepentingan lain dalam Rapidus CORE, kami dapat mengurangkan halangan kepada pelanggan, memendekkan tempoh pembangunan dan mempercepatkan pemasaran peranti semikonduktor generasi baharu," katanya dalam satu kenyataan.
Melalui rangka kerja Rapidus CORE, Oppstar akan bekerjasama dengan institusi penyelidikan global, penyedia automasi reka bentuk elektronik (EDA), syarikat pembangunan harta intelek (IP) dan peneraju pembuatan.
Kerjasama itu akan membolehkan Oppstar menyokong pelanggan daripada peringkat spesifikasi awal sehingga proses menentukan reka bentuk cip dan pengeluaran besar-besaran.
Menurut syarikat itu, penyertaan dalam Rapidus CORE turut mencerminkan komitmennya untuk memperluaskan kehadiran antarabangsa, termasuk melalui kehadirannya di Jepun.
Oppstar berkata kerjasama berkenaan juga bertujuan menggalakkan pembangunan semikonduktor yang lebih pantas dan cekap di peringkat global.
Oppstar Berhad merupakan syarikat litar bersepadu (IC) bersepadu dari Malaysia yang mengkhusus dalam reka bentuk IC serta pembangunan cip secara menyeluruh.
Syarikat itu memberi tumpuan kepada teknologi proses pembuatan termaju dan membantu syarikat inovasi global membangunkan IC daripada peringkat konsep sehingga menjadi produk. - DagangNews.com






