Bekas Pengarah Besar Felda direman lima hari

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 11:55 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bekas Pengarah Besar Felda direman lima hari

PUTRAJAYA: Bekas Pengarah Besar sebuah badan berkanun bergelar Datuk ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan projek selain urusan penjualan tanah.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 11 September itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.

Terdahulu, individu berusia lingkungan 60-an yang memakai baju berkolar berwarna hijau itu tiba di mahkamah sekitar pukul 9.15 pagi dengan menaiki van SPRM.

Individu terbabit kemudiannya diiringi oleh dua anggota SPRM dalam keadaan tangan tidak bergari.

Sementara itu, menurut sumber, permohonan reman terhadap seorang lagi individu yang dipercayai mengalami masalah kesihatan akan dijalankan di hospital.

Semalam, media melaporkan dua individu termasuk seorang bekas Pengarah Besar sebuah badan berkanun bergelar Datuk ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di Kuala Lumpur.

Kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 60-an dan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang ketika diminta hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, semalam.

Minggu lalu, SPRM membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dilapor berkata, penyiasatan khas berskala besar yang dinamakan sebagai OPS FELLA menumpukan kepada transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan Felda dan FIC dalam tempoh 10 tahun iaitu antara 2010 hingga 2020. – UTUSAN

The post Bekas Pengarah Besar Felda direman lima hari appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved