Ops Khas PeWA: 107 disita termasuk kenderaan mewah

LocalCars
30 Jul 2026 • 2:51 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ops Khas PeWA: 107 disita termasuk kenderaan mewah

BUTTERWORTH : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang berjaya menyita sebanyak 107 buah kenderaan termasuk beberapa kenderaan mewah seperti Toyota Alphard dan Toyota Land Cruiser dalam Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang bermula 16 Jun lalu.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, hasil semakan mendapati, warga asing yang memandu serta memiliki kenderaan mewah ini rata-ratanya terdiri daripada golongan profesional termasuk ahli perniagaan yang berasal dari China dan Myanmar.

Katanya, kebanyakan warga asing ini juga tidak mempunyai lesen memandu ketika ditahan dan ada sebahagian daripada mereka yang bertindak mendaftarkan kenderaan yang dibeli itu atas nama warga tempatan.

“Jadi, kita akan ambil tindakan jika terbukti mereka tiada lesen memandu. Selain itu, mana-mana pemilik warga tempatan yang terlibat termasuk yang menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing ini juga akan dikenakan tindakan.

“Dalam hal ini, sekiranya Akta Pengangkutan Jalan 1987 dijadikan rujukan, kedua-duanya iaitu pemandu dan pemilik akan dikenakan tindakanlah,” katanya kepada pemberita selepas pelaksanaan operasi itu di sini.

Operasi yang berakhir hari ini itu menyaksikan sebanyak 8,458 kenderaan telah diperiksa dengan 317 daripadanya dikenakan tindakan manakala sebanyak 587 notis saman turut dikeluarkan kepada warga asing terbabit atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Khas PeWA itu.

Sementara itu, berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh JPJ Pulau Pinang berkaitan Ops PeWA, sebanyak 178 kenderaan telah disita secara keseluruhannya sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini berbanding hanya 143 kenderaan yang disita sepanjang 2025.

Selain itu, jumlah saman yang dikeluarkan menerusi operasi penguatkuasaan itu juga meningkat iaitu daripada 1,098 saman sepanjang tahun lepas kepada 1,328 saman atas pelbagai kesalahan bermula Januari lalu sehingga hari ini.

Jelas Zulkifly, pihaknya memandang serius peningkatan jumlah sitaan serta saman yang dikeluarkan terhadap pemandu warga asing itu ketika ini kerana ia boleh mengundang risiko terhadap keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Sebab itulah kita lakukan operasi seperti ini (PeWA) secara berterusan dan sepanjang masa dalam usaha untuk membanteras kegiatan pemandu-pemandu warga asing yang memandu atau mengendalikan kenderaan bermotor tanpa kelayakan atau lesen yang memandu yang sah,” katanya.-UTUSAN

The post Ops Khas PeWA: 107 disita termasuk kenderaan mewah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved