
JPJ Negeri Sembilan sita 301 kenderaan mewah termasuk Lamborghini dan Ford Mustang melalui Ops Luxury Januari hingga Ogos susulan gagal bayar cukai.
SEREMBAN: Kereta mewah Lamborghini dan Ford Mustang antara 301 kenderaan yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menerusi Ops Luxury seluruh daerah sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan Jasyindar Singh Sihdu berkata kebanyakan kenderaan mewah ini dikesan gagal membayar cukai jalan bernilai RM600 hingga RM35,000.
Beliau berkata antara kesalahan lain dikesan adalah tiada lesen memandu yang sah, kereta tidak mengikut spesifikasi, nombor pendaftaran fancy serta nombor pendaftaran diubah suai bagi mengelak daripada dikesan.
“JPJ negeri tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja melanggar peraturan atau cuba menghalang dan mengaburi tindakan penguatkuasaan.
“Tindakan tegas diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Operasi ini merupakan tindakan penguatkuasaan bersasar dan kita akan laksanakan secara berterusan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jasyindar Singh berkata pihaknya turut mengambil tindakan terhadap kesalahan melibatkan bukan warganegara membabitkan 274 pemandu atas pelbagai kesalahan bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding 138 kes pada tahun lepas.
Beliau berkata warga Pakistan mencatat jumlah tertinggi iaitu 111 kes, diikuti Indonesia (73), Bangladesh (49) dan lain-lain negara (41).
“JPJ negeri terus memperkasakan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.






