Ops Water: Pendakwaan fail rayuan hukuman ringan bekas Pengarah Jabatan Air Sabah

LocalPolitics
1 Jun 2026 • 5:28 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Ops Water: Pendakwaan fail rayuan hukuman ringan bekas Pengarah Jabatan Air Sabah

KOTA KINABALU — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan pada 25 Mei 2026 terhadap hukuman yang dianggap terlalu ringan ke atas bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib.

Rayuan turut difailkan terhadap perintah pelepasan dan pembebasan isterinya, Fauziah Piut, serta bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, Lim Lam Beng.

SPRM dalam satu kenyataan menjelaskan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu sebelum ini mensabitkan Ag Mohd Tahir atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai keseluruhan kira-kira RM49.7 juta di bawah AMLATFPUAA 2001.

"Hukuman penjara lapan tahun bagi setiap pertuduhan diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh sebenar hanya lapan tahun.
Mahkamah turut mengenakan denda keseluruhan RM284.3 juta, dengan tambahan 78 bulan penjara jika gagal membayar," kata kenyataan itu.

SPRM berkata mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara dan pembayaran denda sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai, dengan syarat jaminan sedia ada dikekalkan.

Dalam prosiding sama, Fauziah Piut dilepaskan daripada 19 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM2.2 juta, manakala Lim Lam Beng turut dibebaskan daripada empat pertuduhan bernilai kira-kira RM2.3 juta.

"Mahkamah juga mendapati Ag Mohd Tahir dan Fauziah tidak bersalah terhadap dua pertuduhan bersama melibatkan aset bernilai kira-kira RM6.5 juta," jelas kenyataan itu lagi.

Kes berprofil tinggi Ops Water bermula susulan siasatan pada Oktober 2016 terhadap kegiatan pengubahan wang haram dan pemilikan aset dipercayai hasil aktiviti haram melibatkan pegawai kanan Jabatan Air Negeri Sabah.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa pada 29 Disember 2016 dan melalui perbicaraan hampir sedekad sebelum keputusan disampaikan.

Suruhanjaya itu menambah mahkamah turut memerintahkan permohonan perlucuthakan harta di bawah Seksyen 55 AMLATFPUAA 2001 ditangguhkan sehingga rayuan selesai sepenuhnya.

"Status quo semua barang kes dikekalkan dan sebarang pemulangan harta hanya boleh dibuat selepas pelupusan muktamad rayuan di mahkamah lebih tinggi," katanya. - 1 Jun, 2026

The post Ops Water: Pendakwaan fail rayuan hukuman ringan bekas Pengarah Jabatan Air Sabah appeared first on Scoop.