Polis panggil pakar perlembagaan bantu siasat kes Tony Pua

LocalPolitics
26 May 2026 • 7:54 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Polis panggil pakar perlembagaan bantu siasat kes Tony Pua

KUALA LUMPUR - Seorang pakar akademik yang pakar dalam Perlembagaan Persekutuan akan dipanggil pada 3 Jun ini bagi membantu siasatan kes hantaran Facebook bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua yang didakwa menyentuh isu sensitif.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata rakaman percakapan pakar terbabit diperlukan bagi mendapatkan pandangan dari sudut akademik berhubung isu institusi Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara yang dibangkitkan.

Setakat ini, ujar beliau, sebanyak 120 laporan polis diterima dari seluruh negara berhubung kes berkenaan dan sebanyak 95 orang saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, lapor Bernama.

“Kami akan merakam percakapan seorang pakar akademik dari sudut Perlembagaan Persekutuan pada 3 Jun depan sebelum kertas siasatan berhubung kes ini dilengkapkan sepenuhnya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Polis telah membuka kertas siasatan dan merakam keterangan Tony Pua di IPD Shah Alam pada Khamis lepas, susulan satu hantaran di laman sosial miliknya yang didakwa menyentuh ketenteraman awam.

Menerusi hantaran itu, beliau didakwa menyatakan negara mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan kuasa raja secara amnya adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu sahaja. - 26 Mei, 2026

The post Polis panggil pakar perlembagaan bantu siasat kes Tony Pua appeared first on Scoop.