‘Orang luar lebih sibuk soal badan kita, suami okey je’

Health & FitnessLifestyle
24 Sep 2026 • 10:03 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Orang luar lebih sibuk soal badan kita, suami okey je’

PETALING JAYA – Pelakon Janna Nick hairan melihat sikap segelintir pihak yang terlalu mengambil berat mengenai perubahan fizikal wanita selepas melalui fasa kehamilan dan melahirkan anak.

Ujar Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 31, perkara berkaitan bentuk badan sepatutnya tidak dijadikan bahan kecaman kerana setiap wanita mempunyai pengalaman serta proses pemulihan berbeza selepas bergelar ibu.

“Kadang-kadang orang luar, walaupun tidak ada kena-mengena, lebih sibuk bercakap tentang badan kita. Suami sendiri okey sahaja sebab dia tahu pengorbanan isterinya.

“Sibuk sangatlah! Macamlah orang itu mahu tidur sebelah mereka. Individu yang mengata pula entah-entah masih bujang dan tiada orang mahu. Jadi, teruskan kuat, semua ibu!” katanya dalam Threads.

Dalam hantaran berasingan, bintang filem Juang itu turut menitipkan pesanan kepada wanita supaya tidak mudah patah semangat hanya kerana menerima pandangan negatif daripada orang sekeliling.

“Mantera saya hari ini: Jangan negatif! Teruskan perjalanan walaupun banyak perkara cuba menghalang kita.

“Jangan berputus asa! Kemanisan pasti ada di penghujung jalan,” tegasnya.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian peminat, dengan sebahagian besar menyatakan persetujuan terhadap pandangan Janna selain menganggap perubahan fizikal selepas melahirkan anak sebagai perkara normal.

Malah, ada pengikut berpendapat masyarakat perlu lebih berempati terhadap wanita selepas bersalin dan tidak menjadikan bentuk badan sebagai ukuran kecantikan atau nilai seseorang.

Pun begitu, terdapat juga segelintir netizen berpandangan golongan selebriti tetap perlu menjaga penampilan memandangkan mereka sering menjadi perhatian umum.

Isu mengenai perubahan fizikal selebriti selepas bergelar ibu sebelum ini turut menjadi perhatian apabila penyanyi Najwa Latif menerima komen berkaitan bentuk badannya ketika membuat persembahan pada acara Keretapi Sarong.

Bagaimanapun, ramai peminat tampil mempertahankan Najwa dengan menjelaskan perubahan fizikal selepas melahirkan anak merupakan proses semula jadi selain turut memuji persembahan vokal penyanyi itu kekal mantap ketika berada di pentas. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Orang luar lebih sibuk soal badan kita, suami okey je’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved