Lindungi wang simpanan warga emas

Personal FinanceFamily & Parenting
21 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lindungi wang simpanan warga emas

BAYANGKAN jika wang yang dikumpulkan sepanjang hayat tiba-tiba hilang. Bukan kerana pelaburan yang gagal tetapi kerana wang itu diambil, disalahgunakan atau ditipu oleh orang lain. Lebih menyedihkan, jika orang itu bukan orang asing. Ia mungkin seseorang yang dipercayai seperti anak, saudara, penjaga atau kenalan rapat. Inilah yang dikenali sebagai penderaan kewangan terhadap warga emas.

Penderaan kewangan warga emas merujuk kepada penyalahgunaan atau eksploitasi wang, harta atau apa-apa sumber kewangan mereka. Ini termasuk skim pelaburan palsu, penipuan dan kecurian identiti hinggalah penyalahgunaan kuasa. Ada yang berlaku secara terang-terangan. Mangsa mungkin dipaksa, diugut atau ditipu untuk menyerahkan wang dan harta. Namun, ada juga penderaan yang berlaku secara tersembunyi. Seseorang mungkin menawarkan diri untuk ‘membantu’ menguruskan kewangan tetapi akhirnya menggunakan wang tersebut untuk kepentingan sendiri.

Apa yang lebih membimbangkan, penderaan kewangan tidak mudah dikesan. Ia tidak melibatkan kesan nyata seperti penderaan fizikal. Ini terutamanya apabila melibatkan keluarga atau orang yang rapat. Kita seringkali mengaitkan penipuan atau penderaan kewangan dengan kerugian kewangan. Namun, ia bukan sekadar kehilangan wang. Kesannya jauh lebih serius. Bayangkan bekerja selama 30 atau 40 tahun untuk mengumpul simpanan hari tua. Sedikit demi sedikit, wang dikumpulkan dengan harapan dapat menikmati kehidupan selesa selepas bersara. Tetapi apabila simpanan itu hilang, masa untuk mengumpulnya semula sudah tidak banyak. 

Lebih daripada itu, penderaan kewangan boleh meninggalkan kesan emosi yang mendalam. Mangsa boleh berasa kecewa, marah, takut dan tertekan. Mereka mungkin memilih untuk mengasingkan diri kerana berasa malu atau tidak lagi selamat.

 Justeru, kita tidak boleh melihat penderaan kewangan sebagai masalah wang semata-mata. Ia berkait rapat dengan keselamatan, kebebasan dan kualiti hidup seseorang.

Melindungi warga emas ialah tanggungjawab bersama. Menangani penderaan kewangan warga emas bukan tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa sahaja. 

Keluarga dan masyarakat perlu memainkan peranan. Kesedaran tentang penderaan kewangan perlu dipertingkatkan. Tanda-tanda awal perlu dikenal pasti dan bantuan mesti diberikan sebelum keadaan menjadi lebih buruk. 

Sistem sokongan yang baik bukan sahaja membantu mangsa, tetapi juga mampu mencegah penderaan kewangan daripada berlaku. –UTUSAN

 

PROF. MADYA DR. NORHAFIZA NORDIN dan DR. NAZLIATUL ANIZA ABDUL AZIZ

Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan,

Universiti Utara Malaysia (UUM)

The post Lindungi wang simpanan warga emas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved