Orang ramai kutip telur bertaburan di LPT2, pakar kata bahaya dimakan

20 Feb 2025 • 3:39 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Kemalangan melibatkan sebuah lori yang membawa muatan telur ayam di Kilometer 293.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Chukai, Kemaman, mencetuskan situasi luar biasa apabila lebih 70,000 biji telur bertaburan di atas jalan raya.

Kejadian berlaku pada Rabu kira-kira jam 5.30 pagi selepas lori tersebut dipercayai dirempuh dari belakang oleh sebuah lori barangan sejuk beku.

Menurut kelindan lori, Mohd Izzat Izzudin, 25, lori yang dinaikinya bersama seorang rakan terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik. Mereka dalam perjalanan menghantar kira-kira 2,500 papan telur dari Raub, Pahang ke Kuala Terengganu.

“Masih ada telur yang elok dan terdapat juga telur yang telah rosak,” katanya.

Pemilik syarikat membenarkan telur yang masih elok diambil oleh orang ramai untuk mempercepatkan proses pembersihan dan mengelakkan pembaziran.

Tidak lama kemudian, kawasan kemalangan dipenuhi penduduk sekitar yang datang mengutip telur tersebut. Seorang penduduk, Othman Ahmad, 53, bersama anaknya mengambil kesempatan itu selepas melihat video kejadian yang tular di media sosial.

“Selepas dapat tahu pemilik syarikat beri kebenaran, saya dan anak datang ke sini,” katanya.

Pengguna jalan raya, Ismail Azemi, 46, pula menyatakan telur yang diperolehnya akan digunakan sebagai persiapan menyambut Ramadan serta dikongsi bersama jiran terdekat.

“Sayang kalau tak kutip sebab banyak yang masih elok. Semoga ada rezeki yang lebih baik untuk pemilik telur ini,” katanya.

Telur kemalangan tidak selamat

Bagaimanapun, Pensyarah Biokimia dan Biofizik Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohamad Khairi Mohd Zainol memberi amaran bahawa telur yang terdedah di kawasan kemalangan berisiko dicemari bakteria berbahaya seperti Salmonella, Escherichia coli, Listeria monocytogenes, Clostridium perfringens dan Staphylococcus aureus.

Menurut beliau, bakteria ini boleh mencemari telur yang pecah atau retak, berpotensi menyebabkan keracunan makanan, cirit-birit, demam dan kekejangan perut.

“Telur yang tidak pecah mungkin selamat jika tidak terdedah kepada kotoran, bahan api atau bahan kimia. Namun, ia perlu dibasuh dan diperiksa kesegarannya melalui ujian apungan,” jelasnya.

Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan memastikan telur yang diambil dibersihkan dengan teliti serta diuji kesegarannya sebelum digunakan bagi mengelakkan risiko kesihatan.

Sumber: Sinar Harian