Orang SD

15 Nov 2026 • 11:37 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Orang SD

Oleh Abdullah Hussaini

Ilustrasi Muizzah

Setiap kali orang di kampung bertanya aku dari KL-kah, aku segera menjawab: SD! Di musim tebuk atap dan lompat-melompat, perkataan itu segera terkenal dan sering diperkatakan oleh semua orang. Apabila aku menyebutnya, orang akan mudah membayangkan dan hasrat tersirat aku yakni menjauhkan pegangan ramai yang memahami penghijrahan keluar sering bererti ke Kuala Lumpur, sedikit sebanyak tercapai. SD bukan statutory declaration, bukan juga sd card. Tetapi singkatan kepada Sri Damansara, sebuah tempat yang kadangkala beralamatkan Kuala Lumpur dan kadangkala Selangor. Tempat ini cukup istimewa buat aku kerana di sinilah aku tanam banyak impian dan harapan-sebahagian kecilnya sudah tercapai, dan selebihnya aku percaya, akan dapat kuraih di sini tidak lama lagi.

Hassan budak baru di JJ Mart. Dia menyewa sebuah bilik sempit dan aku pula berkongsi sebuah bilik tidur utama dengan seorang lelaki India yang hanya balik sebulan dua hari. Sebagai budak baru, Hassan tidak dapat elak daripada menghadapi lagak senioriti aku: daripada nasihat-nasihat yang tak kunjung padam, pedoman menghadapi pengurus stor, hinggakan pengalaman peribadi yang sering diperbesar. Suatu hari, tidak tahan agaknya, dia berkata, "kalau betul kau ada kabel dengan YB tu, kenapa kau tak dapat-dapat kerja dengan dia?" Hassan merujuk kepada Datuk Sharifah, dua pupu aku yang merupakan exco dalam sebuah kerajaan negeri. Aku selalu cerita Datuk Sharifah sejak dulu syok sama aku dan selalu pelawa aku kerja dengannya. 

Buat pertama kali aku tersentak. Sejak mula dibuka sembilan tahun lalu, JJ Mart menyaksikan ramai pekerja datang dan pergi. Yang kekal hanya aku. Daripada sekadar pekerja biasa hinggalah menjadi penyelia stor, aku masih setia menyarung seragam kuningnya. "Kalau betul kau ada kabel dengan YB tu, kenapa kau tak dapat-dapat kerja dengan dia?" Tetapi Hassan baru habis SPM. Dia belum pernah membuat keputusan yang besar, dia tidak ada komitmen yang banyak dan dia bukan ada tanggungan pun. Entah mengapa, pertanyaan Hassan itu berdengung-dengung dalam kepalaku untuk suatu tempoh hingga mengganggu kerja-kerjaku. Suatu hari, sejurus habis waktu kerja, aku mengajaknya minum teh tarik dan pekena roti canai. Aku belanja, tegasku. Kami berjalan kaki sejauh satu kilometer meredah malam zulmat yang dibungkus cuaca panas. Sesampainya di restoran mamak, tubuh kami sudah melekit peluh.

Dua gelas teh tarik sudah sampai, dan Hassan cepat-cepat menyeropotnya. Dia memang kaki teh tarik. Katanya kalau sehari tidak minum seluruh tubuhnya menggeletar. Kemudian kami menyaksikan seorang pelanggan yang terjatuhkan wang sebanyak 50 ringgit dari celah poketnya. Tidak tergerak hati kami untuk mengambilnya, dan tidak pula kami ingin bangun dari kerusi dan panggil pelanggan itu. Hassan selanjutnya berkata, "Aku pernah jumpa lima ratus, bergulung, tak jauh dari pasar raya."

"Lepas tu? Kau ambil ya?" 

Lama Hassan terdiam, bermain-main dengan ketulan ais dalam mulutnya sebelum menggigit hingga pecah dan ditelan. Betul, aku ambil, kata Hassan. Dah agak, kataku. Dia tersengih dan menempelak, katanya kalau aku berada di kedudukan dia tentu aku juga melakukan hal yang sama. Aku menggeleng-geleng menafikan telahannya. Aku ceritakan kepadanya suatu peristiwa. Namun sebelum itu, aku bertanya kepadanya, apakah kebetulan yang paling kauharapkan berlaku dalam hidup kau? Kerana dia kelihatan lama berfikir untuk menjawab satu soalan yang sepatutnya sudah tersedia dengan jawapan, aku terus mengatakan kebetulan apa yang terjadi dalam hidupku. Sebagai marhaen yang hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang, imaginasi untuk meraih kesenangan segera sentiasa ada dan menduduki carta teratas dalam arus pemikiran. Antara imaginasi itu adalah situasi begini: sedang jalan kaki pada suatu pagi yang damai, tiba-tiba seorang lelaki tua rebah menghempap tanah, segera berlari dan berikan CPR. Apabila sudah tersedar dan sihat lelaki tua itu berikan nombor telefon dan kata dia akan berikan apa sahaja kerana telah menyelamatkan nyawa dia.

"Berlaku tak benda tu?" tanya Hassan. Aku mengangguk. Lelaki itu memakai singlet hijau dan kasut Nike ketika aku melihatnya terjelepok di atas tanah. Aku buat semua yang kerap berputar dalam imaginasiku dan CPR tidak semudah dalam video tular atau TV. Mulut lelaki itu berbau dan giginya berkarang. Tapi lelaki itu memang kaya, dan dia berikan nombor telefonnya untuk aku hubungi kemudian dan minta apa sahaja. Hassan agak teruja. Aku ambil masa untuk menghubungi lelaki itu. Telah kufikir dalam-dalam apa yang akan kuminta. Hei, aku selamatkan nyawa, bukan biasa-biasa punya penyelamatan. Nyawa itu tidak terganti dengan emas, dengan mahligai atau dengan nyawa lain sekalipun. Aku tahu lelaki itu jutawan, dan aku telah mencari maklumat tentangnya di Google. Tak mungkin dia hanya akan berikan aku seratus atau seribu ringgit. Kita bercakap tentang jutawan dan nyawa yang hampir melayang.

Namun, kalian harus tahu, yang kerap juga berkumandang adalah ungkapan, "yang miskin makin miskin, yang kaya makin kaya." Dua kali aku menelefon lelaki itu. Dua kali pesanan WhatsApp-ku hanya dibaca tanpa balasan. Beberapa bulan berlalu, aku WhatsApp lelaki itu sekali lagi, dan keadaan tetap sama. Malam yang panas perlahan berganti sejuk. Hassan menukar soalan, "kau sayang tempat kerja kau atau kau tunggu balasan lelaki itu?"


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved