PAAB labur RM1.63 bilion perkukuh bekalan air Kelantan

LocalBusiness & Finance
11 Jun 2026 • 2:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PAAB labur RM1.63 bilion perkukuh bekalan air Kelantan
Ir Jaseni (kiri) bersama Azhar ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian LRA Bukit Chupak di Gua Musang pada Khamis.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Image from: PAAB labur RM1.63 bilion perkukuh bekalan air Kelantan
(Dari kanan) Ir Jaseni, Mohd Nassuruddin dan Dr Izani ketika Majlis Perasmian LRA Bukit Chupak di Gua Musang pada Khamis.Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

GUA MUSANG – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, menyelesaikan isu air di Kelantan menerusi pelaksanaan beberapa projek strategik termasuk pembinaan tiga loji rawatan air (LRA) bernilai lebih RM700 juta bagi memenuhi keperluan rakyat dan menyokong pembangunan negeri.

Pengerusi PAAB, Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya sedang merangka pelan pembangunan dan pelaksanaan infrastruktur air yang lebih strategik serta mampan untuk tempoh tiga tahun akan datang dengan kerjasama Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Menurut beliau, antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan LRA Chicha 2 dan LRA Tok Bali yang dijangka mampu mengukuhkan sekuriti serta rizab bekalan air di Kelantan.

"LRA Chicha 2 yang bernilai RM55 juta dan berkapasiti 20 juta liter sehari dijangka siap pada Oktober 2026.

"Manakala LRA Tok Bali membabitkan kos pembinaan RM162.26 juta dengan kapasiti 50 juta liter sehari dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Januari 2028," katanya pada Majlis Perasmian LRA Bukit Chupak di sini pada Khamis.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Hadir sama ialah Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin; Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir Zulkiflee Omar dan Pengurus Besar AKSB, Azhar Hanafi.

Ir Jaseni memberitahu, PAAB turut membiayai pembinaan LRA Machang dengan nilai keseluruhan RM500 juta yang dijangka membekalkan sehingga 120 juta liter air terawat sehari apabila siap sepenuhnya.

**media[3547699]**

Menurut beliau, usaha meningkatkan kecekapan sistem bekalan air negeri turut diperkukuh melalui peruntukan RM145.80 juta di bawah Program Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan yang diterajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Katanya, peruntukan itu digunakan bagi melaksanakan projek penggantian paip lama yang kritikal sepanjang 162 kilometer di seluruh Kelantan.

"Projek ini dijangka meningkatkan keupayaan sistem bekalan air serta mengurangkan kadar NRW di negeri ini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga Mei 2026, PAAB telah memperuntukkan sebanyak RM1.63 bilion bagi pembangunan infrastruktur bekalan air di Kelantan.

Jelasnya, jumlah tersebut merangkumi RM264.28 juta untuk projek yang telah siap, RM376.34 juta bagi projek yang sedang dalam pembinaan dan RM991.41 juta untuk projek yang masih berada pada peringkat perancangan serta reka bentuk.

"PAAB akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Kelantan, AKSB dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan agenda memperkukuh infrastruktur air negeri dapat direalisasikan.

"Komitmen ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk mentransformasikan sektor air negara ke arah sistem yang lebih berdaya tahan, cekap dan mampan," katanya.