PAAB selesai laksana projek ganti paip uzur Kota Bharu RM79 juta

15 Sep 2026 • 1:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PAAB selesai laksana projek ganti paip uzur Kota Bharu RM79 juta

KOTA BHARU: Projek penggantian paip-paip uzur di Kota Bharu bernilai kira-kira RM79 juta melibatkan penanaman paip baharu sepanjang jajaran 113 kilometer telah selesai.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Ir. Zulkiflee Omar berkata, kerja kini memasuki fasa akhir membabitkan proses mematikan dan meninggalkan paip lama sebelum projek berkenaan dijangka disiapkan pada penghujung tahun ini.

Katanya, kemajuan projek tersebut dilihat penting dalam usaha mengurangkan kadar air terawat yang terbuang (NRW), selain memastikan pelaburan membabitkan pembinaan loji rawatan air dapat dimanfaatkan secara optimum.

“PAAB tidak mahu peningkatan kapasiti pengeluaran air melalui pembinaan loji baharu menjadi sia-sia sekiranya sebahagian bekalan yang disalurkan hilang akibat keadaan paip yang uzur.

“Kita tidak mahu buat loji air tetapi airnya terbuang. Jadi kita kena ganti paip uzur supaya kadar NRW dapat dikurangkan. Usaha merupakan aspirasi kerajaan memastikan rakyat menikmati kemudahan bekalan air bersih,” katanya kepada pemberita selepas program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PAAB Kelestarian di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkiflee memberitahu, PAAB merancang projek pembinaan loji rawatan air baharu dan penggantian paip-paip uzur bernilai kira-kira RM991 juta di Kelantan.

Katanya, projek peringkat perancangan dan reka bentuk itu dijangka ditender tidak lama lagi.

Zulkiflee berkata, pembangunan infrastruktur bekalan air perlu bergerak seiring antara pembinaan loji baharu dan penggantian paip lama.

Katanya, hal ini bagi memastikan rizab bekalan air mencukupi dapat ditingkatkan khususnya ketika musim perayaan dan kemarau.-UTUSAN

The post PAAB selesai laksana projek ganti paip uzur Kota Bharu RM79 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved