
KOTA BHARU – Projek penggantian paip uzur di daerah ini yang bernilai kira-kira RM79 juta melibatkan penanaman paip baharu sepanjang jajaran 113 kilometer selesai.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Ir. Zulkiflee Omar berkata, projek tersebut memasuki fasa akhir melibatkan proses memati dan meninggalkan paip lama sebelum projek berkenaan dijangka disiapkan pada penghujung tahun ini.
Katanya, kemajuan projek tersebut dilihat penting dalam usaha mengurangkan kadar air terawat yang terbuang (NRW), selain memastikan pelaburan membabitkan pembinaan loji rawatan air dapat dimanfaatkan secara optimum.
“PAAB tidak mahu peningkatan kapasiti pengeluaran air melalui pembinaan loji baharu menjadi sia-sia sekiranya sebahagian bekalan yang disalurkan hilang akibat keadaan paip yang uzur.
“Kita tidak mahu buat loji air, tetapi airnya terbuang. Jadi, paip uzur perlu diganti supaya kadar NRW dapat dikurangkan. Usaha itu merupakan aspirasi kerajaan memastikan rakyat menikmati kemudahan bekalan air bersih,” katanya kepada pemberita selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PAAB Kelestarian di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkiflee memberitahu, PAAB merancang projek pembinaan loji rawatan air baharu dan penggantian paip-paip uzur bernilai kira-kira RM991 juta di Kelantan.
Katanya, projek peringkat perancangan dan reka bentuk itu dijangka ditender tidak lama lagi.
“Pembangunan infrastruktur bekalan air perlu bergerak seiring antara pembinaan loji baharu dan penggantian paip lama.
“Hal ini bagi memastikan rizab bekalan air mencukupi dapat ditingkatkan khususnya ketika musim perayaan dan kemarau,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Projek ganti paip uzur di Kota Bharu bernilai RM79 juta selesai appeared first on Kosmo Online.





