
KUALA LUMPUR – Dalam usaha mengelak sebarang kejadian tidak diingini kembali berulang, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mahu mempercepatkan perpindahan atlet ke Pusat Kecemerlangan Sukan Angkat Berat Kebangsaan di Rompin, Pahang.
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, pusat latihan itu berada dalam proses naik taraf ketika ini dengan sasaran untuk menempatkan semua atlet di bawah program Road to Gold (RTG) dan Podium.
Menurutnya, beliau berharap proses itu diselesaikan secepat mungkin meskipun ia dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai tahun depan bagi membolehkan atlet dipindahkan ke pusat kecemerlangan itu.
Ayub menjelaskan, perpindahan ke Rompin mampu untuk membantu atlet-atlet memberikan sepenuh fokus kepada latihan kerana ia diberikan kawalan 24 jam selain tidak ada perkara-perkara yang boleh mengganggu.
“Kita kena buat keputusan seperti yang dicadangkan sama ada ia (atlet) perlu dibawa ke Rompin ataupun tidak. Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan buat keputusan untuk pindahkan atlet yang ada di Bukit Jalil ke Rompin.
“Di Bukit Jalil sebenarnya kurang sesuai kerana ianya terbuka dan peraturannya agak longgar. Jadi, ianya tidak memberikan impak positif, terutamanya ketika melakukan persiapan ke kejohanan.
“Itu sebabnya kita cadangkan Rompin dan Menteri sudah bersetuju, begitu juga MSN (Majlis Sukan Negara) bagi menjadikan Rompin sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Angkat Berat,” katanya ketika ditemui selepas melawat atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.
Terdahulu, Hafizuddin menjalani pembedahan bagi memotong tangan kanannya malam tadi selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) kelmarin ketika dalam perjalanan dari Ampang ke Bukit Jalil.
Tambah Ayub, dengan peraturan lebih ketat selain kedudukan Rompin yang jauh dari kesibukan kota, mampu mengehadkan aktiviti atlet di luar waktu lathan, sekali gus dapat memastikan keselamatan mereka.
“Dengan kawalan 24 jam serta peraturan yang ada selain terpisah dengan bandar, ianya sangat penting bagi memastikan atlet fokus. Persatuan juga ingin lihat kecemerlangan itu berlaku,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post PABM mahu atlet segera dipindahkan ke Rompin appeared first on Kosmo Online.






