
KUALA LUMPUR, 26 NOV: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan menilai semula kuota minyak masak bersubsidi secara berkala berdasarkan data transaksi sebenar bagi memastikan bekalan yang ditetapkan selari dengan keperluan domestik dan mengelakkan ketirisan serta penyeludupan.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) telah menurunkan siling kuota minyak masak bersubsidi daripada 60,000 tan metrik kepada 55,000 tan metrik sebulan mulai 1 Jun lepas, anggaran keperluan domestik sebenar adalah lebih rendah, iaitu antara 19,000 hingga 30,000 tan metrik sebulan.
Beliau berkata perkara itu antara lapan syor penambahbaikan yang diketengahkan PAC menerusi Penyata Tindakan Susulan berhubung Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
“Penyata asal PAC pada 16 Julai lepas susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang mendedahkan kelemahan serius dalam pelaksanaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan program minyak masak bersubsidi melibatkan peruntukan kerajaan berjumlah RM12.138 bilion.
“Susulan kaji selidik yang menunjukkan peningkatan kos operasi syarikat pembungkus sebanyak 9.63 peratus kepada RM2,982 per tan metrik, PAC menggesa KPDN menyegerakan proses verifikasi dokumen dan audit kos susulan bersama kilang penapis bagi mengesahkan kesahihan kos yang dikemukakan sebelum memuktamadkan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Selain itu, PAC menekankan keperluan memperketat semakan rekod stok antara syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit bagi membendung manipulasi laporan minyak masak rosak serta penyelewengan minyak masak bersubsidi untuk dijadikan minyak masak terpakai (UCO).
Dalam aspek subsidi bersasar, Mas Ermieyati berkata PAC menyambut baik pewartaan larangan penjualan dan pembelian minyak masak peket kepada bukan warganegara serta pelaksanaan projek rintis aplikasi Mobile eCOSS, selain mencadangkan integrasi sistem itu dengan MyDigital ID atau platform bantuan sedia ada seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), BUDI MADANI RON95 dan BUDI Diesel.
“KPDN juga perlu membentangkan laporan keberkesanan projek rintis sebelum peluasan menyeluruh dilaksanakan bagi mengatasi risiko ketirisan rekod manual di kawasan yang tidak mempunyai capaian Internet,” katanya.
Syor lain termasuk penilaian ekonomi dan jangkaan pasaran terkini berdasarkan pergerakan harga minyak sawit mentah (CPO), selain memastikan proses peralihan kuota pembungkus sebanyak 1,370 tan metrik daripada kilang penapis milikan asing kepada pengilang tempatan mulai 1 Jan 2027 dilaksanakan secara telus tanpa menjejaskan kestabilan bekalan.
Beliau berkata PAC juga menggesa penguatkuasaan dipertingkat menerusi operasi bersepadu, penggunaan teknologi dron dan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tumpuan sempadan serta tindakan pendakwaan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata pemeriksaan berkala dan naziran fizikal terhadap syarikat pembungkus perlu ditambah baik bagi membanteras penyelewengan di peringkat punca bekalan, selain tindakan menyahaktifkan 211 syarikat pemborong dan peruncit daripada sistem eCOSS.
Beliau berkata Penyata Tindakan Susulan itu dibuat selepas PAC meneliti laporan tindakan susulan muktamad yang dikemukakan KPDN pada 1 Oktober lepas serta mengadakan prosiding pada 8 Oktober dengan memanggil wakil MOF dan KPDN.



