amree26/11/2026 - 14:10 Gambar hiasan - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov — Kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 55,000 tan sebulan masih jauh melebihi anggaran permintaan domestik kira-kira 30,000 tan, sekali gus meningkatkan risiko ketirisan dan penyeludupan dalam program subsidi bernilai RM12.14 bilion.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan agar mengurangkan lagi kuota berkenaan bagi memastikan bekalan dapat disalurkan mengikut keperluan sebenar pengguna dan tidak menyebabkan berlaku lambakan besar di pasaran semasa.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kuota bulanan itu sudah dikurangkan daripada 60,000 tan kepada 55,000 tan berkuat kuasa 1 Jun 2026, namun masih memerlukan penilaian berkala bagi mengelakkan isu lebihan bekalan disalahgunakan pula.
"Kami bimbang lebihan bekalan tersebut boleh membuka ruang besar kepada ketirisan dan penyeludupan, sekali gus menjejaskan keberkesanan peruntukan subsidi kerajaan untuk rakyat yang memerlukan produk ini," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.
Menurut beliau, laporan PAC yang dibentangkan pada 16 Julai 2026 susulan Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 yang menggariskan beberapa kelemahan dalam pelaksanaan program minyak masak bersubsidi serta turut mengemukakan sebanyak lapan syor penambahbaikan segera.
Selepas menerima laporan tindakan susulan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 1 Oktober 2026, PAC mengadakan prosiding pada 8 Oktober 2026 dengan pegawai kanan kementerian itu dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi menilai perkembangan.

Mas Ermieyati berkata, kos operasi pembungkusan minyak masak meningkat kira-kira 9.63% kepada RM2,982 satu tan, justeru KPDN perlu mempercepatkan audit kos bersama-sama pihak penapisan sebelum kadar subsidi yang sepatutnya itu dapat dimuktamadkan.
"Selain itu, prosedur pengendalian minyak masak rosak sejak 1 Mei 2026 perlu disokong ketat di sepanjang rantaian bekalan bagi mengelakkan manipulasi laporan, termasuk tindakan terhadap pihak yang menyeleweng untuk dijadikan minyak masak terpakai," tegasnya.
PAC turut menyambut baik larangan penjualan minyak masak paket kepada bukan warganegara serta pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS), namun mengesyorkan integrasi dengan MyDigital ID atau platform bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Jawatankuasa itu juga menggesa KPDN melaporkan keberkesanan projek rintis eCOSS sebelum pelaksanaan penuh, khususnya bagi menangani risiko ketirisan akibat rekod manual di kawasan yang tiada capaian internet, selain mengemas kini kajian berdasarkan perubahan harga minyak sawit mentah dan mengemukakan penilaian berkala kepada Jemaah Menteri.
Dalam perkembangan lain, KPDN akan menarik balik kuota pembungkusan sebanyak 1,370 tan yang diperuntukkan kepada kilang penapisan milik asing mulai 1 Januari 2027, dengan PAC menegaskan pemindahan kuota itu kepada pengeluar tempatan perlu diurus secara telus bagi memastikan rantaian pengedaran serta kestabilan bekalan tidak terjejas. - DagangNews.com





