
Kota Kinabalu: Tiga pihak berpotensi dikenal pasti sebagai calon penyelamat (white knight) menyatakan minat untuk mengambil alih projek Pacificity di Likas, dengan pembeli dijadual bermesyuarat pada 15 Nov ini bagi mendengar cadangan mereka selepas projek itu terbengkalai kira-kira lima tahun.
Mesyuarat itu akan diadakan pada 2 petang di Dewan Majlis Kebajikan dan Rekreasi Perkhidmatan Awam Malaysia (Maksak) di sini.
Mesyuarat anjuran Persatuan Kebajikan Pembeli Projek Pacificity itu turut menyediakan penyertaan secara dalam talian bagi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal.
Jurucakap persatuan menggalakkan semua pembeli menghadiri mesyuarat berkenaan. Projek itu membabitkan lebih 700 pembeli yang berpeluang mendengar taklimat daripada wakil jawatankuasa, mengemukakan soalan dan berkongsi pandangan.
Ketiga-tiga pihak berkenaan sebelum ini telah memberikan taklimat kepada jawatankuasa dan wakil pembeli dalam satu sesi yang dikendalikan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun dilaporkan berkata, Bank Pembangunan Sabah (SDB) merupakan pembiaya dan bukannya pemaju projek berkenaan, selain masih mempunyai tunggakan hutang hampir RM300 juta.
Beliau berkata, bank itu bersedia menerima pengurangan hutang sehingga 50 peratus.
Projek berkenaan dibangunkan di atas tapak seluas 25 ekar di Teluk Likas dan merangkumi kondominium, pusat beli-belah, pejabat serta hotel.
Maksak menerima tanah berkenaan daripada Kerajaan Negeri sebelum 1990-an dan mengadakan usaha sama dengan sebuah syarikat swasta kira-kira 30 tahun lalu.
Pembeli yang ingin menghadiri mesyuarat boleh menghubungi Ku menerusi talian 019-8801408 atau Voo di talian 019-8807720.






