Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan gesa KPKT dedah rekod prestasi pemaju elak risiko projek terbengkalai

4 Nov 2026 • 10:36 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan gesa KPKT dedah rekod prestasi pemaju elak risiko projek terbengkalai Image from: Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan gesa KPKT dedah rekod prestasi pemaju elak risiko projek terbengkalai liza04/11/2026 - 10:36 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov – Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menambah baik portal TEDUH menerusi pengenalan profil prestasi pemaju serta sistem amaran awal bagi membantu pembeli menilai risiko sebelum membeli rumah.

 

Setiausaha Agung Kehormat HBA, Datuk Chang Kim Loong berkata maklumat lesen pemaju dan status kemajuan projek yang dipaparkan menerusi portal itu masih belum mencukupi untuk menentukan kemampuan sebenar sesebuah syarikat menyiapkan pembangunan perumahan.

 

Menurutnya, pemaju yang memiliki lesen sah tidak semestinya mempunyai kedudukan kewangan, kepakaran teknikal dan rekod prestasi mencukupi untuk menyiapkan projek mengikut tempoh serta spesifikasi yang dijanjikan.

 

“Portal TEDUH menyediakan maklumat berkaitan status lesen pemaju, Permit Iklan dan Lesen Pemaju (APDL), kemajuan projek serta pembangunan yang dikategorikan sebagai lewat, sakit atau terbengkalai.

 

“Pembeli turut boleh menyemak maklumat kelulusan lanjutan masa (EOT), harga jualan yang diluluskan dan beberapa maklumat lain berkaitan projek. Bagaimanapun, pemilikan lesen dan APDL yang sah tidak menjamin pemaju mampu menyiapkan projek dengan jayanya.

 

“Lesen hanya membuktikan pemaju memenuhi syarat perundangan untuk beroperasi, bukannya jaminan syarikat mempunyai aliran tunai mencukupi, mampu mengawal kos pembinaan atau memastikan kontraktor menyiapkan kerja mengikut jadual,” katanya dalam satu kenyataan.

 

HBA mahu rekod prestasi pemaju didedahkan

Sehubungan itu, HBA mencadangkan TEDUH 2.0 menyediakan profil prestasi setiap pemaju yang merangkumi rekod projek terdahulu, termasuk jumlah pembangunan yang disiapkan mengikut jadual, projek lewat, projek yang mendapat EOT serta projek sakit atau terbengkalai.

 

Maklumat berkenaan juga perlu merangkumi aduan pembeli, prosiding tribunal dan mahkamah, pertukaran kontraktor atau arkitek serta rekod kecacatan berulang dan aduan yang belum diselesaikan sepanjang Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP).

 

Chang turut mencadangkan supaya rekod syarikat induk, anak syarikat, syarikat bersekutu dan individu yang mempunyai kawalan terhadap pemaju dapat dikenal pasti bagi membolehkan pembeli menilai pengalaman serta rekod kumpulan korporat berkenaan.

 

“Maklumat berkaitan tindakan penguatkuasaan, pendakwaan dan sabitan berkaitan pembangunan perumahan serta jumlah projek yang memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) juga wajar dimasukkan,” katanya.

 

Sistem amaran awal perlu diperkenalkan

Selain rekod prestasi, Chang mahu KPKT memperkenalkan mekanisme amaran awal bagi mengenal pasti petunjuk risiko sebelum sesebuah projek merosot menjadi projek lewat, sakit atau terbengkalai.

 

Antara cadangan ialah meneliti bagaimana pengisytiharan di bawah Borang 7(f) undang-undang perumahan boleh dimanfaatkan dalam pembangunan sistem berkenaan.

 

Bagaimanapun, beliau menegaskan penilaian risiko perlu berasaskan kriteria yang jelas, boleh disahkan dan telus, selain mengambil kira kerahsiaan komersial, privasi serta hak pemaju untuk membetulkan maklumat tidak tepat.

 

Chang berkata, kempen #TeduhBersama yang menggalakkan pembeli menyemak maklumat sebelum membeli rumah merupakan langkah baik, namun tanggungjawab menilai risiko komersial dan teknikal tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada pengguna.

 

Menurutnya, TEDUH perlu membantu mengurangkan jurang maklumat antara pemaju dengan pembeli supaya mereka dapat menilai kekuatan kewangan, keupayaan teknikal dan rekod prestasi syarikat sebelum menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA).

 

"TEDUH sepatutnya menjadi titik semakan pertama, bukannya keputusan muktamad," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved